Jemput Trump keputusan 10 pemimpin ASEAN

Jemput Trump keputusan 10 pemimpin ASEAN

AHMAD Zahid Hamidi merasmikan Majlis Pelancaran Skuad Yayasan Pelajaran Mara Peringkat Negeri Johor 2025 di Stadium Tertutup Arena Larkin, Johor Bahru, Johor hari ini.-UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Keputusan Malaysia menjemput Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-47 bukan keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semata-mata.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Zamidi berkata, keputusan itu sebaliknya adalah keputusan sebulat suara 10 pemimpin negara ASEAN.

“Pada lazimnya, ketika Sidang Kemuncak ASEAN berlangsung, kita akan menjemput rakan-rakan dialog terutamannya AS, Jepun, China dan pelbagai negara yang lain.

“Untuk Sidang Kemuncak ASEAN yang tertangguh enam tahun yang lalu, kita adakan sidang kemuncak bersama-sama negara G16.

“Kali ini sidang kemuncak itu kita buat bersama sebagai rakan ASEAN termasuklah AS, ini bukan keputusan Perdana Menteri sebagai Pengerusi ASEAN tetapi sebulat suara seluruh 10 pemimpin negara-negara ASEAN untuk mengadakan sidang kemuncak dengan rakan dialog,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Skuad Yayasan Pelajaran Mara (YPM) Peringkat Negeri Johor di Stadium Tertutup Arena Larkin di sini hari ini.

Yang Hadir sama ialah Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Pengerusi Majlis Amanah Mara (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Ahmad Zahid berkata, kehadiran Trump sebagai tetamu ASEAN tidak menghentikan ketidaksetujuan Malaysia terhadap campur tangan AS terhadap kekejaman zionis Israel yang berterusan menyerang Semenanjung Gaza, Palestin.

“Pendirian itu tidak pernah mengubah kedudukan kita namun secara rasionalnya sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia harus menghormati keputusan sebulat suara pemimpin negara ASEAN,”katanya.

Ketika ditanya adakah isu kehadiran Trump akan dibahas di Parlimen esok, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, mungkin ada ahli Parlimen yang akan berbahas isu tersebut.

“Ya, mungkin ada Ahli Parlimen yang akan bahaskan isu ini dan mereka boleh buat demikian tetapi kita harus hormati keputusan dibuat sekretariat ASEAN terutama keputusan yg dibuat 10 pemimpin ASEAN.

“Pada kali ini Sidang Kemuncak ke 47 akan terima Timor Leste sebagai negara ke 11 yang akan menganggotai ASEAN,”katanya.

Semalam, Anwar dilaporkan berkata, Malaysia berharap mengadakan perbincangan lebih terbuka bersama Trump sempena Sidang Kemuncak Asia Timur dan Sidang Asean–AS dalam usaha menjamin hak rakyat Palestin sebagai sebuah negara berdaulat serta bermaruah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN