KUALA LUMPUR: Sidang kemuncak tiga pihak antara ASEAN, Majlis Kerjasama Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China di Kuala Lumpur bukan sekadar pertemuan diplomatik tetapi detik penting dalam kebangkitan Selatan Global di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi global ketika ini, kata China.
Jurucakap Kementerian Luar China, Mao Ning dalam kenyataan berkata, pertemuan tiga hala yang julung kali diadakan itu bukan hanya simbolik semata-mata sebaliknya menandakan kemunculan paksi ekonomi dan strategik baharu.
Katanya, ia bakal memecah dominasi perdagangan tradisional dikuasai Barat dan menawarkan visi alternatif pembangunan secara kerjasama.
“China ingin mengembangkan kerjasama praktikal dengan ASEAN dan negara anggota GCC dalam pelbagai bidang untuk memanfaatkan kekuatan masing-masing, mencapai keputusan sama-sama menang dan mempertahankan kepentingan bersama Selatan Global.
“Matlamat ini sejajar dengan usaha ASEAN untuk memupuk integrasi di rantau ini, sasaran GCC untuk mengurangkan pergantungan terhadap minyak dan mempelbagaikan ekonomi, ditambah dengan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) China yang memfokuskan pada strategi pembangunan infrastruktur global,” katanya.
Gabungan ASEAN, GCC dan China dijangka dapat mencorakkan semula dinamik ekonomi global.
ASEAN adalah pasaran pengguna yang sedang pesat berkembang dengan 700 juta populasi yang merupakan ekonomi kelima terbesar di dunia dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kolektif sebanyak AS$3.6 trilion (RM15.2 trillion).
Kelmarin, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz memberitahu, KDNK kolektif ASEAN diunjur berkembang 4.7 peratus pada 2025 daripada 4.2 peratuf tahun lepas.
Sementara itu, GCC yang disokong oleh rizab tenaganya yang besar bernilai hampir AS$2 trilion ( RM8.4 trilion) dalam dana kekayaan negara, sedang mempelbagaikan ekonominya dengan pelbagai pelan seperti Wawasan 2030 Arab Saudi. – UTUSAN