ASEAN ambil sikap kebersamaan hadapi cabaran global

ASEAN ambil sikap kebersamaan hadapi cabaran global

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: ASEAN mengambil sikap kebersamaan yang teguh dalam menjaga kestabilan ekonomi, daya tahan dan trajektori pertumbuhan jangka panjang di rantau ini.

Dalam kenyataan bersama dikeluarkan, negara ahli ASEAN mengambil maklum mengenai peningkatan tindakan unilateral berkaitan tarif dan sekatan perdagangan serta pelaburan lain serta risiko perpecahan global yang semakin ketara. 

Katanya, ASEAN tegas bahawa perdagangan unilateral dan balas dendam adalah tidak produktif dan berisiko memburukkan lagi perpecahan ekonomi global, khususnya apabila tindakan itu memberi kesan tidak langsung kepada rantau ini. 

“Kami mengarahkan pegawai berkaitan untuk memantau risiko kemungkinan pengalihan perdagangan dan berinteraksi dengan negara sahabat melalui platform sedia ada bagi mencari penyelesaian secara konstruktif. 

“Kami juga kekal komited terhadap penyelesaian aman dan membina dengan negara sahabat melalui dialog perundingan, saling menghormati, dan pematuhan kepada undang-undang antarabangsa, sejajar dengan prinsip asas Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara. 

“Sehubungan itu, kami menegaskan komitmen ASEAN terhadap perpaduan serantau, kestabilan ekonomi dan kerjasama praktikal dalam menghadapi cabaran luaran,” kata kenyataan tersebut.

Dalam pada itu, ASEAN mengiktiraf bahawa jaminan perniagaan dan rantaian bekalan yang berdaya tahan adalah penting bagi kestabilan serta pemulihan ekonomi global. 

Oleh itu, ASEAN komited untuk mengekalkan aliran perdagangan terbuka dan selamat, serta bekerjasama dengan rakan dagang untuk mengukuhkan daya tahan rantaian bekalan selain mempromosikan pembangunan mampan.

“Selaras dengan perkembangan terkini, ASEAN beriltizam untuk mengukuhkan daya tahannya dengan memperdalam lagi perdagangan dan pelaburan dalaman. 

“Ini termasuk mempercepat inisiatif keutamaan seperti Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) dan penambahbaikan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA),” katanya.

Selain itu, katanya lagi, ASEAN juga akan memanfaat, memoden dan menambah baik Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN Plus One dan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) untuk mengurangkan risiko ketidaktentuan perdagangan global dan gangguan rantaian bekalan.

Katanya, ASEAN juga akan mengukuh dan meningkatkan perdagangan serta pelaburan intra-ASEAN selain mempereratkan kerjasama drngsn rakan baharu seperti Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

“ASEAN juga akan meningkatkan penyelarasan dalaman serantau menggunakan sepenuhnya mekanisme rentas sektor sedia ada dan Pasukan Petugas Geoekonomi ASEAN yang baharu ditubuhkan. 

“Kami juga akan melaksanakan langkah-langkah domestik yang tepat pada masanya dan disasarkan bagi mengurangkan kesan tarif tinggi, termasuk perlindungan untuk menyokong industri dan pekerja rantau, khususnya golongan rentan terhadap gangguan perdagangan. 

“Pada masa yang sama, kami akan bekerjasama secara kolektif untuk memastikan ASEAN bersedia menghadapi perubahan masa depan yang bersifat transformasi, memacu inovasi, menggalakkan daya tahan dan meningkatkan daya saing serantau. 

“Kami berazam untuk memastikan tiada siapa yang tertinggal dalam perjalanan menuju ASEAN yang lebih inklusif, mampan dan diberdayakan secara digital,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN