KUALA LUMPUR: Manchester United terus kecewa apabila sekali lagi kempunan untuk menjulang trofi selepas tewas di tangan ASEAN All-Star 1-0 pada perlawanan Piala Cabaran Malaysia 2025 di Stadium Nasional Bukit Jalil(SNBJ), sebentar tadi.
Pemain Burma, Maung Maung Lwin menjadi wira skuad ASEAN All-Star apabila menjadi penjaring tunggal dalam perlawanan itu pada minit ke-71.
Keputusan itu menambah derita United yang sebelum ini kecundang dengan keputusan sama di tangan Tottenham Hotspurs pada perebutan kejuaraan Liga Europa minggu lalu.
Perlawanan yang dihadiri 72,550 penyokong setia Manchester United, ternyata ia belum cukup untuk memastikan The Red Devils keluar padang sebagai juara.
Bermula sepak mula, kedua-dua pasukan menunjukkan aksi seimbang apabila saling berbalas serangan namun pengurus United, Ruben Amorim kelihatan tidak tenang di bangku simpanan selepas anak buahnya bergelut menahan asakan skuad ASEAN All-Star.
Skuad kendalian Amorim diasak hebat skuad bimbingan Kim Sang Sik nyata tidak ‘goyang’ berdepan kelab dari Liga Perdana Inggeris (EPL) itu apabila menguasai permainan dan beberapa kali melakukan percubaan bahaya.
Skuad ASEAN All-Star hampir membuka jaringan menerusi Sandro Mguel Sison Reyes pada minit ke-21, namun berjaya diselamatkan oleh Andre Onana.
Tertekan dengan situasi itu, Amorim melakukan empat pertukaran pada minit ke-32 dengan membawa masuk Sekou Kone, Jaydon Kamason, Daniel Arner dan Shea Lacey bagi menggantikan Jack Moorhouse, Casemiro, Diogo Dalot dan Harry Maguire.
Pada minit ke-33, Kobbie Mainoo hampir meletakkan United didepan, namun percubaannya berjaya diselamatkan penjaga gol ASEAN AlL-Star, Patiwat Khammai.
Kedudukan 0-0 kekal sehingga wisel penamat separuh masa pertama dibunyikan dengan kedua-dua pasukan gagal menjaringkan sebarang gol.
Bersambung babak kedua, United telah memasukan Bruno Fernandes sekali gus menambah kekuatan jentera tengah namun ia belum cukup untuk merobek gawang ASEAN All-Star.
Sebaliknya, pada minit ke-71 hasil lorongan Adrian Segecic disudahkan dengan rembatan kencang daripada Maung Lwin menewaskan penjaga gol gantian United, Thomas Heaton.
Gol itu kekal hingga wisel penamat sekali gus memberi kemenangan kepada ASEAN All-Star manakala ia menambah derita buat anak buah Amorim.-UTUSAN