Aksi agresif pacu Man-Tee ke final Malaysia Masters 2025

Aksi agresif pacu Man-Tee ke final Malaysia Masters 2025

MAN Wei Chong-Tee Kai Wun ketika beraksi menentang pasangan Jepun Takuro Hoki-Yugo Kobayashi pada aksi separuh akhir Malaysia Masters 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil, hari ini. - UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Aksi bertenaga dan permainan agresif membawa beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun ke final Malaysia Masters 2025 selepas menundukkan gandingan Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi menerusi kemenangan straight set di separuh akhir Malaysia Masters, hari ini.

Turun selaku pilihan kelima, beregu negara itu tidak berdepan masalah besar menewaskan pasangan ranking ke-20 dunia itu 21-12, 21-14 dalam perlawanan berdurasi 31 minit di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Kemenangan itu turut memadam rekod dua kekalahan terdahulu kepada pasangan Jepun berkenaan, sekali gus mengukuhkan reputasi mereka sebagai antara gandingan paling konsisten musim ini.

“Kami rasa kemenangan ini sukar tapi sangat baik untuk kami. Kami saling percaya dan hubungan di gelanggang semakin kuat.

“Bulu tangkis hari ini agak laju, jadi kami tahu kami kena main agresif. Kalau main perlahan, dua tiga mata pun dah boleh mereka ambil kesempatan,” kata Kai Wun.

Ini merupakan kali kedua beregu negara mara ke final kejohanan bertaraf Super 500 itu selepas tewas kepada bekas juara dunia 2023 dari Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae 21-15, 22-24, 21-19 pada edisi 2023.

Kemenangan itu membuka peluang buat gandingan negara itu bertemu sama ada rakan senegara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik atau pilihan utama dari Denmark yang juga juara bertahan, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen pada aksi akhir, esok.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN