PETALING JAYA: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berjaya melunaskan dendam ke atas pasangan Man Wei Chong-Tee Kai Wun dalam aksi suku akhir Terbuka Singapura hari ini.
Pilihan ketiga kejohanan itu menewaskan pasangan pilihan kelapan dengan keputusan 22-20, 21-17 dalam pertemuan yang berlangsung selama 33 minit.
Kemenangan itu hadir selepas kekalahan mengejut Aaron-Wooi Yik kepada Wei Chong-Kai Wun dalam aksi final Malaysia Masters 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil, Ahad lalu.
Aaron-Wooi Yik kini akan berdepan cabaran getir dalam separuh akhir esok apabila bertemu beregu No.1 dunia dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty.
Beregu India itu mara ke separuh akhir selepas menewaskan pasangan No. 1 dunia, Goh Sze Fei Nur Izzuddin Rumsani 21-17, 21-15.
Dalam acara beregu wanita pula, Pearly Tan-M. Thinaah terus dihantui oleh pasangan China, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian apabila mereka bangkit menewaskan wakil negara itu sebentar tadi.
Turun selaku pilihan keempat, Pearly-Thinaah tewas kepada Yi Fan-Shu Xian dalam pertarungan tiga set 21-14, 24-22, 21-14 dalam masa 73 minit.
Ironiknya, pasangan China terbabit turut menyingkirkan beregu No. 4 dunia itu pada perlawanan separuh akhir Malaysia Masters 2025, Sabtu lalu.
Sementara itu, hasrat perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao untuk melangkah lebih jauh tidak kesampaian apabila tewas kepada pemain No. 2 dunia, Kunlavut Vitidsarn 21-13, 21-11 dalam masa 47 minit- UTUSAN