JAKARTA: Malaysia dan Indonesia bersetuju mempertingkatkan kerjasama kesalinghubungan melalui perkhidmatan feri Roll on Roll off (RORO) Johor-Batam bagi memperluas perdagangan dan pergerakan rakyat.
Perkara itu dipersetujui selepas pertemuan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersama Wakil Presiden Indonesia sempena lawatan rasmi beliau ke negara itu.
Menurut pejabat Timbalan Perdana Menteri, Dalam pertemuan tersebut, Indonesia turut menyatakan hasrat bekerjasama erat dengan Malaysia dalam mempromosikan produk halal ke peringkat antarabangsa, termasuk menangani isu penggunaan logo halal.
“Malaysia dan Indonesia turut ingin menggalakkan penglibatan negara-negara ASEAN lain seperti Thailand dalam inisiatif ini.
“Indonesia merakamkan penghargaan terhadap pelaksanaan sistem One Channel System (OCS) oleh Malaysia untuk pengurusan tenaga kerja Indonesia (TKI) termasuk pembantu rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam sektor minyak sawit, katanya, Indonesia mencadangkan perluasan keanggotaan Majlis Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) dengan mengundang Thailand, manakala Malaysia menekankan keperluan bagi meneroka pasaran baharu seperti China.
Malaysia pada masa sama turut menjemput Indonesia bagi bekerjasama dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan berkongsi kepakaran pertanian, di samping menggalakkan pelajar Indonesia menyertai program TVET di Malaysia.
“Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia memohon sokongan Indonesia dalam promosi pendidikan vokasional serantau.
“Malaysia juga berharap usaha promosi Tahun Melawat Malaysia 2026 dapat diperluaskan di Indonesia,” katanya.
Selain itu, kedua-dua negara turut menyatakan komitmen terhadap kerjasama dalam usaha deradikalisasi terrorisme di rantau ini dan mencadangkan zon baharu untuk jemaah haji Asia Tenggara diwujudkan.
Pada masa sama, Malaysia menekankan pentingnya peranan ASEAN untuk bertindak secara kolektif dalam menghadapi tarif balas Amerika Syarikat.
“Dalam isu Palestin, kedua-dua negara menyatakan sokongan terhadap gencatan senjata dan usaha kemanusiaan serta pemulihan Gaza melalui platform seperti Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan ASEAN.
“Selain itu, isu penahanan bot nelayan turut dibincangkan, dengan Malaysia mencadangkan supaya garis panduan sedia ada dipatuhi agar nelayan yang memasuki perairan tidak ditahan tetapi dipulangkan dengan baik,” katanya.
Dalam pada itu, Indonesia turut mencadangkan penubuhan lebih banyak Community Learning Centre di Malaysia bagi memberikan akses pendidikan kepada anak-anak pekerja migran.
Katanya, pertemuan ini membuktikan kesepakatan tinggi antara kedua-dua negara untuk terus memperkukuh kerjasama strategik dan menyelesaikan isu bersama secara diplomatik dan berhemah. – UTUSAN