LONDON: Pemegang rekod dunia, Ruth Chepngetich telah menarik diri daripada menyertai London Maraton bersama juara bertahan Peres Jepchirchir.
Chepngetich, 30, menjadi wanita pertama mencatat masa bawah dua jam 10 minit dalam Chicago Maraton 2024, berkata dia belum bersedia untuk perlumbaan tersebut yang bakal diadakan pada minggu depan.
Atlet dari Kenya itu mengakui berasa sangat sedih apabila tidak dapat menyertai perlumbaan itu namun berharap untuk kembali ke Maraton London pada tahun 2026.
“Saya tidak berada dalam keadaan mental atau fizikal yang terbaik untuk berlumba di London dan oleh itu saya menarik diri,” katanya.
Rakan senegaranya Jepchirchir, yang memenangi Maraton London tahun lalu dengan rekod masa 2:16.16s, akan terlepas perlumbaan kali ini kerana kecederaan buku lali.
“Memenangi Maraton London tahun lepas merupakan salah satu detik kemuncak dalam kerjaya saya dan saya amat menantikan untuk kembali tahun ini bagi mempertahankan gelaran saya.
“Malangnya, kecederaan saya telah menghalang perkara itu tetapi saya kini fokus untuk kembali sihat dan berharap dapat kembali ke London pada masa akan datang apabila saya benar-benar cergas,” kata Jepchirchir.

Dengan ketiadaan Chepngetich dan Jepchirchir, penganjur telah mengumumkan bahawa rakan senegara mereka, Vivian Cheruiyot akan menyertai barisan pelari elit.
Cheruiyot, 41, telah menyertai London Maraton sebanyak tiga kali dan memenanginya pada tahun 2018. – AGENSI