KUALA LUMPUR: Status jaguh trek negara, Datuk Azizulhasni Awang yang masih menjadi tanda tanya untuk terus berlumba menyebabkan beliau bukan lagi menjadi sandaran utama pada temasya Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Jepun.
Namun, situasi berkenaan tidak meresahkan kem berbasikal trek negara, sebaliknya membuka ruang kepada Muhammad Shah Firdaus serta Nurul Izzah Izzati Mohd Asri bagi menggalas cabaran ke temasya empat tahun sekali itu.
Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill berkata, berdasarkan prestasi semasa, Shah Firdaus dan Nurul Izzah mampu untuk membutirkan pingat emas pada temasya itu sekiranya Azizulhasni memutuskan untuk berhenti mengayuh.
“Sandaran kem berbasikal trek kami ke Sukan Asia saya rasa Shah dan Izzah. Kami punya sasaran sememangnya tertumpu pada acara trek,” kata Amarjit selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Penajaan Jersi Rasmi antara Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) dan ISports Wear, di sini, kelmarin.
Status Azizulhasni yang diberi julukan The Pocket Rocketman itu masih kabur apabila beliau masih ‘berehat’ dan belum memberi kenyataan rasmi sama ada beliau akan meneruskan kariernya sebagai pelumba berbasikal trek selepas gagal membutirkan pingat emas pada Sukan Olimpik Paris 2024 pada Ogos.
Terdahulu, Amarjit mendedahkan pihaknya akan mengadakan sidang media bersama Azizulhasni yang dijangka dilakukan pada petang ini dan segala ‘rahsia’ bakal dirungkaikan pada hari berkenaan mengenai masa depannya dalam dunia berbasikal trek.
Sementara itu, bagi acara berbasikal lebuh raya, Amarjit memaklumkan proses pemilihan akan dilakukan bagi memastikan hanya pelumba terbaik akan membarisi kontinjen negara ke Sukan Asia tahun hadapan.
“Untuk atlet berbasikal lebuh raya mereka harus menjalani pemilihan terlebih dahulu sebelum ke Sukan Asia nanti,” katanya.-UTUSAN