PETALING JAYA: Atlet pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi dan pelari jarak jauh, Shereen Samson Vallabouy menjadi tonggak utama untuk melayakkan diri secara merit ke Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS).
Azeem merekod catatan masa 20.79 saat (s) dalam acara 200 meter (m) pada Kejohanan Olahraga Pepsi Florida Relays di AS pada Jumaat lalu, hanya 0.02s dipisahkan dengan rekod kebangsaan milik Russel Taib 20.77s yang dilakukan pada 2019.
Pengarah Teknikal Olahraga Malaysia (OM), Robert Ballard berkata, Azeem telah menunjukkan kematangan selepas setahun berusaha di bawah bimbingan Ken Harnden.
“Azeem kini dalam fasa terbaik selepas setahun berusaha menyesuaikan diri dengan sistem latihan di Amerika. Tahun ini kita lihat dia semakin matang dan konsisten.
“Azeem akan memberi tumpuan kepada Kejohanan NCAA yang akan berlangsung pada Jun ini, sebelum kembali beraksi di Terbuka Malaysia pada Julai.
“Selain itu, dia berpeluang menyertai Kejohanan Dunia, Kejohanan Universiti Dunia di Jerman, serta Sukan SEA di Thailand,” katanya.
Shereen pula mempamerkan aksi cemerlang selepas pulih daripada kecederaan hamstring apabila merangkul emas acara 400m wanita pada kejohanan Embry-Riddle Running Elements Classic di Florida, AS.
Shereen yang mewakili kelab Life Speed melakukan catatan masa 53.72s untuk muncul juara.-UTUSAN