JOHOR BAHRU: Garis panduan penjualan dan penyimpanan mercun serta bunga api sempena musim perayaan di negeri ini akan diperketat tahun depan susulan kebakaran melibatkan khemah jualan produk berkenaan di Kampung Dato’ Sulaiman Menteri, di sini semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, langkah itu termasuklah menambah baik prosedur operasi standard (SOP) melibatkan lokasi jualan, aspek keselamatan serta jenis mercun yang dijual.
Katanya, antara cadangan utama penambahbaikan adalah untuk menempatkan lokasi tapak jualan lebih jauh daripada kawasan tumpuan ramai termasuklah kawasan berpendudukan.
“Kita lihat ada keperluan mengetatkan syarat sedia ada kerana sebelum ini ia agak longgar. Kelonggaran itu diberi memandangkan tiada insiden serius dilaporkan berlaku di Johor.
“Namun selepas berlaku insiden kebakaran melibatkan khemah jualan mercun dan bunga api semalam, kita lihat ada keperluan mengetatkan SOP, kerana risikonya kini lebih tinggi,” katanya selepas diminta mengulas berhubung insiden kebakaran khemah jualan mercun dan bunga api di Jalan Bunga Ros, Kampung Dato’ Sulaiman Menteri, di sini pada pukul 8.32 malam tadi.
Kebakaran itu turut menyebabkan sebuah kereta jenis Proton Gen-2 dan sebuah ‘food truck’ yang diletak berhampiran khemah berkenaan turut musnah terbakar.
Tambah Mohd. Jafni, pemilihan jenis mercun dan bunga api yang lebih sesuai untuk dijual kepada awam juga akan diperhalusi bagi memastikan tiada insiden sama berulang pada masa depan.
“Bunga api biasa yang dijual di pasar malam umumnya tidak berisiko tinggi, namun kita perlu bezakan mercun bersaiz besar yang memerlukan kawalan lebih ketat.
“Kita tidak mahu satu kes terpencil memberi gambaran buruk kepada ribuan peniaga lain, tetapi pada masa sama keselamatan awam perlu diutamakan,” katanya lanjut.-UTUSAN










