Bakar bunga api untuk diuji, punca kebakaran di Wakaf Che Yeh

Bakar bunga api untuk diuji, punca kebakaran di Wakaf Che Yeh

ANGGOTA bomba melakukan pemeriksaan di lokasi kebakaran di Wakaf Che Yeh, Kota Bharu, Kelantan hari ini. - UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kebakaran dan letupan melibatkan empat khemah menjual bunga api dan mercun sebelum merebak ke sebuah kedai makan di Wakaf Che Yeh di sini pagi tadi, didakwa berpunca daripada tindakan seorang wanita membakar bunga api sebelum membelinya.

Seorang saksi yang enggan dikenali mendakwa, kejadian pada pukul 10.16 pagi itu berlaku akibat tindakan tidak bertanggungjawab pelaku yang dipercayai pekerja kedai makan terlibat atas alasan untuk diuji.

Katanya, ia menyebabkan gerai tersebut terbakar sebelum merebak ke kedai makan yang terletak bersebelahan.

“Sebenarnya pekerja kedai makan itu mahu uji bunga api yang hendak dibeli di gerai tersebut yang berada di hadapan premis kerjanya.

“Cuma dia silap langkah. Dia sepatutnya tidak boleh mencucuh api atau menguji bunga api itu di hadapan kedai tetapi cari kawasan lapang yang lebih selamat,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, peniaga dan pengguna jalan raya cemas selepas sebuah gerai menjual mercun terbakar di Wakaf Che Yeh hari ini.

Situasi itu menyebabkan berlaku letupan sehingga mencetuskan kegemparan dalam kalangan peniaga di kawasan berkenaan.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Darulnaim, Penolong Penguasa Bomba Ahmad Fakaruddin Berahim berkata, seramai 19 anggota termasuk dari Tunjong dan Kota Bharu dikejarkan ke lokasi.

Katanya, api berjaya dikawal sepenuhnya dalam masa lima minit selepas pasukan bomba tiba di tempat kejadian pada pukul 10.20 pagi.

“Dalam operasi hari ini, kita berjaya mengawal daripada berlaku kerugian paling besar. Jika kita lambat bertindak, kebakaran lebih besar mungkin berlaku berikutan premis kedai dibina rapat antara satu sama lain,” katanya ketika ditemui.

Ahmad Fakaruddin berkata, kebakaran tidak melibatkan kemalangan jiwa.

“Setakat ini hanya empat khemah sementara mengalami kemusnahan penuh manakala kedai makan hanya musnah 20 peratus serta dua motosikal turut terbakar. Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN