SEPANG: Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkan semua pihak supaya tidak cuba menjadi ‘jaguh’ dalam isu penempatan semula Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.
Perdana Menteri berkata, isu berkenaan telah dirundingkan selama bertahun-tahun dan bukan rundingan baharu.
Menurutnya, beliau berharap supaya tidak perlu ada respon yang kurang wajar termasuk dalam kalangan masyarakat mengenai isu itu dan berharap ia dapat ditangani dengan baik.
“Masalahnya ada penunggang-penunggang agama termasuk peguam-peguam yang tidak pernah terlibat dalam kegiatan agama terus jadi jaguh dan buat kenyataan umpamanya nak merobohkan (kuil berkenaan).
“Saya tidak boleh bayangkan saya sebagai Perdana Menteri merobohkan mana-mana kuil ataupun kegiatan agama orang lain.
“Adalah (perlu) cari jalan baik supaya mereka mendapat tapak yang sah dan diiktiraf dan mudah-mudahan diselesaikan dengan baik,” katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan Abdul Samad, KLIA, di sini semalam.
Katanya, masjid akan terus dibina manakala kuil akan disediakan di tapak lain.
Anwar berkata, tanah itu bukan tanah kerajaan walaupun asalnya tanah Dewan Bandar Raya (Kuala Lumpur) tetapi itu tidak bermakna tanah kerajaan di mana-mana pun boleh digunakan tanpa kelulusan.
Sebelum ini, bekas presiden Badan Peguam Malaysia Ambiga Sreenevasan dan kumpulan hak asasi manusia, Lawyers for Liberty (LFL) mengadakan sidang akhbar berhubung rancangan
DBKL sebelum ini dilaporkan memberi komitmen tidak akan melakukan sebarang aktiviti perobohan ke atas kuil berkenaan.
Dalam satu kenyataan, DBKL sebaliknya berkata pemindahan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman akan dilaksanakan secara telus, adil dan membabitkan perbincangan dengan pihak berkepentingan bagi memastikan kelancaran pelaksanaannya. – UTUSAN










