JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri menerusi Yayasan Warisan Johor (YWJ) berhasrat mempopularkan pakaian diperbuat daripada Kain Benang Johor termasuk ke peringkat antarabangsa.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Johor, K. Raven Kumar berkata, bagi merealisasikan perkara itu, YWJ telah melancarkan produk Kain Benang Johor Koleksi Qalbu pada harga berpatutan.
Katanya, sempena Ramadan tahun ini, sehelai kain diperbuat daripada tekstil tersebut dijual pada harga RM262, berbanding harga sebenar RM350.
“Kain Benang Johor ini unik kerana ia melambangkan identiti negeri. Kebiasaannya kain tenunan tangan yang ekslusif ini dijual pada harga sedikit tinggi, namun dalam usaha mempopularkan pemakaiannya, kita keluarkan produk pada harga berpatutan.
“Hasratnya adalah untuk mengangkat imej dan produk negeri ke peringkat lebih tinggi, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga ke luar negara,” katanya selepas Majlis Pelancaran dan Kolaborasi Kain Benang Johor Koleksi Qalbu yang diadakan di YWJ, di sini semalam.
Majlis dirasmikan, Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Dr. Azmi Rohani. Yang turut hadir, Pengarah Tourism Johor, Sharil Nizam Abdul Rahim.
Tambah Raven Kumar, sebagai permulaan pihaknya akan mengeluarkan sebanyak 2,500 helaian terlebih dahulu sebelum meningkatkan produksi mengikut tahap permintaan pasaran.
“Kerajaan negeri juga menggalakkan penjawat awam serta rakyat Johor untuk mengenakan produk ini kerana ia unik, sekali gus membawa identiti Johor ke peringkat lebih tinggi.
“Kami juga bekerjasama dengan Yayasan Johor Corporation (JCorp) untuk melahirkan lebih ramai bakat mahir tenun bagi memenuhi peningkatan permintaan pasaran,” jelasnya.
Kain Benang Johor adalah produk yang telah dipatenkan dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan menjadi hak eksklusif milik YWJ. – UTUSAN