RANTAU PANJANG: Batalion Pasukan Gerakan Am (PGA) menggagalkan cubaan seludup pokok kayu keruing dan pelbagai spesies bunga dari Thailand bernilai RM4.3 juta di sini kelmarin.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, selain rampasan itu pihaknya turut menahan seramai dua orang pemandu lori.
Kata beliau, tangkapan dan rampasan itu dilakukan menerusi rondaan rutin yang dilakukan PGA menerusi Op Taring Wawasan Kelantan di sini.
“Semasa melakukan rondaan anggota bertugas telah menahan sebuah lori yang dipandu dalam keadaan mencurigakan di Kampung Dedap di sini pada pukul 11 pagi.
“Pemeriksaan lanjut yang dilakukan ke atas lori itu telah menjumpai pokok bunga iaitu 4,700 puding, 1,200 sandpaper, 1,000 masjutik hijau, 800 masjutik batik dan 500 oleander. Siasatan mendapati, nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM1.8 juta dan anak-anak pokok itu disyaki sudah dijangkiti serangga perosak dan penyakit.
“Pemandu lori berusia 41 tahun itu juga dikatakan sedang dalam perjalanan untuk menghantar tanaman tersebut ke Melaka,” katanya ketika dihubungi semalam.
Nik Ros Azhan memberitahu, tangkapan kedua pula dijalankan kira-kira pukul 9.15 malam pada hari yang sama selepas anggota PGA menahan sebuah lori di Jalan Gual Tinggi di sini.
Katanya, pemeriksaan telah menjumpai lebih 5,000 anak pokok jenis keruing yang dipercayai diseludup dari Thailand.
“Tanaman yang dianggarkan bernilai RM2.5 juta itu disyaki mempunyai serangga perosak dan penyakit. Siasatan lanjut mendapati, pemandu lori yang berusia 33 tahun itu akan menghantar tanaman tersebut ke sebuah nurseri di Jerantut, Pahang,” katanya.










