NEW DELHI: Sekatan baharu Amerika Syarikat (AS) ke atas pengeluar dan kapal Russia bakal menjejaskan bekalan kepada pelanggan utama Moscow di China dan India.
Menurut peniaga dan penganalisis, syarikat penapisan minyak China dan India kini perlu mendapatkan lebih banyak bekalan dari rantau Asia Barat, Afrika dan Amerika, sekali gus bakal mencetus peningkatan harga dan kos pengangkutan.
CHINA, INDIA TERJEJAS
Jumaat lalu, Perbendaharaan AS mengenakan sekatan ke atas pengeluar minyak Russia, Gazprom Neft dan Surgutneftegas bersama 183 kapal yang telah menghantar minyak negara itu, menyasarkan pendapatan yang digunakan Moscow untuk membiayai perangnya dengan Ukraine.
Kebanyakan kapal tangki itu digunakan untuk menghantar minyak ke India dan China selepas sekatan Barat dan had harga yang dikenakan oleh Kumpulan negara G7 pada 2022 mengalihkan perdagangan minyak Russia dari Eropah ke Asia.
Beberapa kapal tangki juga telah menghantar minyak dari Iran, yang juga berada di bawah sekatan.
Eksport minyak Russia dijangka terjejas teruk akibat sekatan baharu ini, yang akan memaksa penapis bebas China untuk mengurangkan pengeluaran penapisan pada masa hadapan, menurut dua sumber perdagangan negara itu.
Jangkaan gangguan dalam bekalan Russia mendorong harga minyak global ke paras tertinggi dalam beberapa bulan dengan Brent didagangkan melebihi AS$81 (RM365.28) setong.
Penganalisis pengangkutan utama Kpler, Matt Wright berkata, antara kapal yang baru disekat, 143 daripadanya adalah kapal tangki minyak yang mengendalikan lebih 530 juta tong minyak mentah Russia tahun lepas, kira-kira 42 peratus daripada jumlah eksport minyak mentah laut negara itu.
“Daripada jumlah ini, kira-kira 300 juta tong telah dihantar ke China manakala sebahagian besar lagi dihantar ke India.
“Sekatan ini akan mengurangkan dengan ketara armada kapal yang tersedia untuk menghantar minyak mentah dari Russia dalam jangka pendek, mendorong kadar tambang lebih tinggi,” kata Wright.
Seorang peniaga yang berpangkalan di Singapura berkata, kapal tangki ditetapkan menghantar hampir 900,000 tong minyak mentah Rusia setiap hari ke China sejak 12 bulan lalu.
“Ia akan jatuh menjunam apabila sekatan dikenakan,” tambahnya.
Selama 11 bulan pertama tahun lepas, import minyak mentah India meningkat 4.5 peratus kepada 1.764 juta tong sehari, atau 36 peratus daripada jumlah importnya.
Jumlah dagangan China, termasuk bekalan saluran paip, meningkat 2 peratus kepada 99.09 juta tan metrik atau 20 peratus daripada jumlah importnya dalam tempoh sama.
Import China kebanyakannya adalah minyak mentah ESPO Blend Russia, dijual melebihi had harga, manakala India kebanyakannya membeli minyak Ural.
Penganalisis Vortexa, Emma Li berkata, eksport minyak mentah ESPO Blend Russia akan dihentikan jika sekatan itu dikuatkuasakan dengan ketat.
“Tetapi ia bergantung kepada sama ada Presiden terpilih, Donald Trump akan menarik balik sekatan dan juga sama ada China mengakui sekatan itu,” jelasnya.
ALTERNATIF LAIN
Jelas sumber, sekatan baharu itu akan mendorong China dan India kembali ke pasaran minyak patuh untuk mendapatkan lebih banyak bekalan dari rantau Asia Barat, Afrika dan Amerika.
Tambah mereka, harga untuk gred Asia Barat, Afrika dan Brazil telah pun meningkat sejak beberapa bulan kebelakangan ini berikutan peningkatan permintaan dari China dan India apabila bekalan minyak Russia dan Iran berkurang dan menjadi lebih mahal.
“Harga sudah mula meningkat untuk gred Asia Barat. Tiada pilihan selain itu dan kita perlu mendapatkan minyak dari rantau itu. Mungkin juga kita perlu untuk mendapatkan minyak AS juga,” kata seorang pegawai penapisan minyak India.
Sumber kedua penapisan India berkata, sekatan ke atas syarikat insurans minyak Russia akan mendorong Moscow meletakkan harga minyak mentahnya di bawah AS$60 (RM270.59) setong supaya mereka boleh terus menggunakan insurans dan kapal tangki Barat.
Ketua Penyelidikan di Onyx Capital Group, Harry Tchilinguirian berkata, syarikat penapis India yang juga pengimport utama minyak mentah Russia, tidak mungkin menunggu lama untuk mengetahui dan akan berebut mencari alternatif minyak mentah Atlantik Basin berkaitan Asia Barat dan Dated-Brent.
“Kekuatan dalam penanda aras Dubai hanya boleh meningkat dari sini ketika kita mungkin melihat bidaan agresif untuk muatan kargo Februari seperti Oman atau Murban, yang membawa kepada penyebaran Brent/Dubai yang lebih ketat,” tambahnya.
Bulan lalu, Biden menetapkan lebih banyak kapal berurusan dengan minyak mentah Iran menjelang tindakan lebih tegas yang dijangka daripada pentadbiran Trump, menyebabkan Kumpulan Pelabuhan Shandong melarang kapal tangki yang disekat memasuki pelabuhannya di wilayah timur China.
“Akibatnya, China yang menjadi pembeli utama minyak mentah Iran, juga akan beralih kepada minyak Asia Barat yang lebih berat dan kemungkinan besar akan memaksimumkan pengambilan minyak mentah Kanada daripada saluran paip Trans-Mountain (TMX),” kata Tchilinguirian.-REUTERS











