BAITULMUQADDIS: Pegawai Palestin memaklumkan beratus-ratus orang mula meninggalkan rumah mereka di beberapa kawasan di Tebing Barat yang diduduki ketika tentera Israel meningkatkan operasi serbuan maut di lokasi itu.
Tentera Israel minggu ini melancarkan serbuan di kawasan Jenin, kubu pejuang Palestin, beberapa jam selepas gencatan senjata dengan Hamas di Semenanjung Gaza bermula.
SERBU JENIN
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, objektif operasi itu, yang digelar ‘Tembok Besi’, kononnya adalah untuk membasmi keganasan di kawasan itu.
Beliau mengaitkan operasi itu dengan strategi yang lebih luas untuk menentang Iran yang menyokong kumpulan bersenjata di seluruh Asia Barat, termasuk Hamas di Gaza.
Malah, beliau turut menuduh Teheran cuba menyalurkan senjata dan dana kepada kumpulan pejuang di Tebing Barat yang diduduki.
“Beratus-ratus penduduk kem mula bertolak selepas tentera Israel, menggunakan pembesar suara pada dron dan kenderaan tentera, mengarahkan mereka mengosongkan kem,” kata Gabenor Jenin, Kamal Abu al-Rub.
Namun, tentera Israel mendakwa tidak meminta penduduk untuk berpindah dari kawasan itu.
“Kami menekankan untuk mengekalkan keselamatan penduduk di kawasan itu, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) membenarkan mana-mana penduduk yang memilih keluar dari kawasan itu untuk berbuat demikian melalui laluan selamat dan teratur,” katanya dalam kenyataan.
PENDUDUK BERPINDAH
Sejak Selasa lalu, operasi itu mengorbankan sekurang-kurangnya 12 rakyat Palestin dan mencederakan 40 lagi di sekitar Jenin, menurut Kementerian Kesihatan Palestin.
“Terdapat berpuluh-puluh penduduk kem yang telah mula beredar. Tentera ada di hadapan rumah saya. Mereka boleh masuk bila-bila masa,” kata penduduk Jenin, Salim Saadi.
Tentera Israel juga turut menahan beberapa rakyat Palestin dari kawasan Jenin, dengan seorang jurugambar AFP melihat sebaris lelaki yang ditutup matanya dalam pakaian putih sedang diangkut keluar dari Tebing Barat.
Penduduk awam Palestin dilihat terpaksa berjalan kaki meninggalkan kawasan Jenin dengan imej AFPTV menunjukkan sekumpulan lelaki, wanita dan kanak-kanak sedang menyusuri jalan berlumpur ketika bunyi dron jelas kedengaran di ruang udara.
Tentera Israel mengaku membunuh dua pejuang Palestin dekat Jenin pada waktu malam, menuduh mereka membunuh tiga warga Israel dan mencederakan enam yang lain dalam serangan pada 6 Januari ke atas sebuah bas di Tebing Barat.
“Selepas berbalas tembakan, mereka telah disingkirkan oleh tentera,” katanya, sambil menambah seorang askar cedera dalam pertempuran itu.
Keganasan meningkat mendadak di seluruh Tebing Barat yang diduduki sejak perang Gaza meletus pada 7 Oktober 2023.
Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, tentera atau peneroka Israel telah membunuh sekurang-kurangnya 850 rakyat Palestin di Tebing Barat sejak perang Israel-Hamas bermula.
Dalam tempoh sama, sekurang-kurangnya 29 penduduk Israel, termasuk tentera maut dalam serangan Palestin atau operasi ketenteraan di wilayah itu, menurut angka rasmi rejim itu.
Di bawah perjanjian gencatan senjata yang rapuh, tiga tebusan wanita Israel yang ditahan di Gaza sejak 2023 telah dihantar pulang sebagai pertukaran untuk pembebasan sekitar 90 tahanan Palestin dari penjara Israel.
Hari ini, kedua-dua pihak perlu melakukan pertukaran tebusan buat kali kedua.
Rabu lalu, tentera Israel berkata, pihaknya membunuh seorang pejuang di Gaza dari gerakan sekutu Hamas, Jihad Islam, kematian pertama yang dilaporkan sejak permulaan gencatan senjata.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mendakwa bertanggungjawab menyumbang kepada usaha mencapai perjanjian gencatan senjata itu selepas menghantar utusan untuk membincangkan proses tersebut sebelum beliau memegang jawatan.
Rabu lalu, Setiausaha Negara AS, Marco Rubio mengesahkan sokongan tidak berbelah bahagi pentadbirannya kepada Israel.
“Rubio bercakap melalui panggilan telefon dengan Netanyahu dari Washington untuk memaklumkan sokongan teguh AS kepada Israel akan terus dikekalkan dan ia adalah keutamaan teratas bagi Presiden Trump,” kata jurucakap Jabatan Negara Tammy Bruce.-AFP










