LONDON: Seorang perogol warga asing yang mendakwa tidak tahu melakukan hubungan seksual dengan wanita sedang tidur adalah salah, berjaya mengelak daripada dihantar pulang ke negara asalnya, Jamaica.
Ia selepas mahkamah khas mendengar dirinya berisiko menjadi sasaran kumpulan gangster kerana orientasi seksualnya.
Lelaki berusia 41 tahun itu, yang diberikan perlindungan identiti, dihukum penjara tujuh tahun pada 2018 atas kesalahan serangan seksual yang berlaku semasa sebuah majlis.
Bagaimanapun, dia dibebaskan pada 2021 selepas menjalani separuh hukuman, sebelum diarahkan untuk dihantar pulang oleh Pejabat Dalam Negeri United Kingdom (Home Office).
Menurut laporan akhbar The Sun, Home Office menyifatkan lelaki itu sebagai ‘ancaman kepada masyarakat’ dan meminta agar tertuduh dihantar pulang ke Jamaica mengikut Akta Suaka 2002.
Dalam cabaran perundangan terhadap perintah penghantaran pulang itu, lelaki berkenaan memberitahu tribunal dia pernah menjadi mangsa serangan ganas di Jamaica kerana orientasi seksualnya sebagai seorang biseksual, selain pernah dipukul menggunakan batang besi, parang dan digigit anjing.
Seorang lelaki yang pernah mempunyai hubungan dengan tertuduh sebelum ini juga didakwa dibunuh kerana orientasi seksualnya.
Lelaki itu dibawa ke UK pada 2001 oleh saudaranya selepas mengalami siri serangan ganas di Jamaica.
Walaupun Home Office mendapati lelaki itu hanya menjalin hubungan dengan wanita sejak tiba di UK pada usia 18 tahun, tribunal memutuskan risiko terhadap keselamatan dirinya jika dihantar pulang adalah terlalu tinggi.
Keputusan itu mendapat kritikan keras daripada bekas Menteri Keselamatan, Sir John Hayes yang menyifatkan ia sebagai penghinaan kepada mangsa jenayah.
“Ini adalah satu penghinaan kepada setiap mangsa. Lelaki ini sepatutnya diusir keluar dari negara ini,” tegasnya.
Keputusan itu mencetuskan perdebatan hangat mengenai dasar penghantaran pulang warga asing yang melakukan jenayah serius di UK, terutamanya apabila keselamatan mereka di negara asal menjadi pertimbangan utama.-AGENSI











