LONDON: Seorang pelancong Britain berusia 29 tahun mendedahkan pengalaman ngeri ditahan di penjara Thailand selepas melanggar undang-undang imigresen negara itu.
Bekas anggota tentera yang enggan dikenali itu mengalami penderitaan selama 15 hari di dua lokap polis dan sebuah pusat tahanan di Bangkok setelah didapati tinggal melebihi tempoh visanya.
“Saya hanya boleh gambarkan tempat itu sebagai neraka,” kongsinya.
Menurutnya, bilik tahanan sesak dengan 130 orang tanpa ruang pengudaraan dan tahanan hanya dibenarkan keluar selama satu jam seminggu.
Makanan pula diagihkan dalam dulang yang dicuci dengan hanya menggunakan air sejuk di atas lantai bilik air yang kotor.
“Setiap tempat yang saya tinggal dipenuhi semut api dan lipas. Sampah pula hanya dibiarkan bertimbun di sudut bilik,” ujarnya.
Kisahnya bermula dengan harapan untuk memulakan perniagaan di Thailand pada April tahun lalu.
Namun, segalanya musnah pada November lalu, apabila dia ditangkap di Pattaya selepas terlibat dalam pertengkaran dengan bekas teman wanitanya.
Polis yang menyedari status visanya mendakwa dia telah melanggar syarat tempoh tinggal di negara itu,
“Polis bertindak kasar. Dua pegawai menyerang saya di tandas awam, memukul dan mengheret saya ke trak sebelum menggari saya,” dakwanya sebelum ditempatkan di lokap kecil bersama lapan tahanan lain.
Selepas lapan hari di Pattaya, dia dipindahkan ke pusat tahanan di Bangkok dan keadaannya jauh lebih teruk, dengan 130 tahanan berkongsi empat tandas, menggunakan baldi air sejuk untuk mandi dan membersihkan diri.
“Pada hujung minggu, kami dibenarkan keluar selama sejam ke kawasan terbuka tanpa bumbung. Namun, ia langsung tidak memberi kelegaan,” katanya.
Selepas ibu pelancong itu bertungkus-lumus menghubungi kedutaan British untuk membebaskannya dengan membayar 500 baht (RM67) di pusat tahanan dan tambang penerbangan, dia akhirnya dibebaskan.
Lelaki itu memberi amaran keras kepada pelancong supaya tidak memandang ringan isu visa sambil meluahkan rasa kecewa terhadap sistem tahanan Thailand, yang didakwanya lebih kepada ‘skim mencari duit’ bagi kerajaan dan bersumpah tidak akan kembali ke negara itu. -AGENSI










