Wei Chong-Wooi Yik, empat lagi wakil Malaysia 'bungkus' di China

Wei Chong-Wooi Yik, empat lagi wakil Malaysia ‘bungkus’ di China

SOH Wooi Yik (kiri) dan Man Wei Chong.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beregu yang dipecah ganding, Man Wei Chong-Soh Wooi Yik hanya mampu melangkah sejauh pusingan kedua, sebelum ditunjukkan jalan keluar oleh pasangan Jepun, Kakeru Kumagai-Hiroki Nishi pada Kejohanan Badminton Terbuka China di Jiangsu, China, hari ini.

Wei Chong-Wooi Yik yang berada di ranking ke-429 dunia tewas straight set kepada beregu No. 23 dunia itu 16-21, 17-21 dalam masa 31 minit.

Pasangan itu menjadi wakil terakhir beregu yang dipecah ganding oleh ketua jurulatih, Herry Iman Pierngadi, selepas tiga lagi gandingan bungkus seawal pusingan pertama.

Tersingkirnya Wei Chong-Wooi Yik, tiada beregu lelaki di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang masih meneruskan perjuangan pada kejohanan berstatus Super 1,000 itu.

Turut terkandas di peringkat sama, beregu gabungan dua negara iaitu Korea Selatan dan Malaysia, Choi Sol Gyu-Goh V Shem yang terpaksa akur kepada wakil tuan rumah, Liang Wei Keng-Wang Chang 20-22, 11-21 dalam masa 35 minit.

Dalam aksi perseorangan lelaki pula, Leong Jun Hao juga tumpas di peringkat 16 terbaik dan sekali lagi pemain China menjadi penghalang kepada wakil Malaysia.

Jun Hao yang menghuni ranking ke-27 dunia tumpas kepada pemain No. 18 dunia, Weng Hong Yang 22-20, 11-21, 18-21 dalam masa 1 jam 10 minit.

Sementara itu, dalam sektor beregu campuran, dua gandingan Malaysia, Chen Tang Jie-Clarissa San dan Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai turut kecundang kepada lawan masing-masing.

Tang Jie-Clarissa berjaya menghadirkan tentangan sengit kepada beregu No. 2 dunia, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin dari China sebelum tewas 21-11, 14-21, 19-21 dalam masa 54 minit.

Beregu No. 12 dunia, Soon Huat-Shevon juga kalah kepada pasangan tuan rumah, Guo Xin Wa-Chen Fang Hui yang merupakan gandingan No. 6 dunia 21-23, 15-21 dalam masa 43 minit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN