CALIFORNIA: Kebakaran hutan seluas 14,541 hektar yang melanda Los Angeles disifatkan sebagai terburuk dalam sejarah California sehingga menyebabkan lebih 10,000 bangunan musnah.
Pemandangan serba indah kediaman mewah di tepi pantai bertukar sekelip mata seperti padang jarak padang tekukur.
Situasi mengejut itu persis tanah tandus di Gaza yang diserang Israel.
Bencana alam yang melanda kawasan yang menempatkan beberapa hartanah paling mahal di Amerika Syarikat (AS) itu sudah mengorbankan 10 nyawa.
Dalam tempoh 24 jam, AccuWeather mengemas kini anggaran kerugian akibat kebakaran hutan di California mencecah AS$150 bilion (RM674 bilion) berbanding AS$57 (RM256 bilion) yang dianggarkan, kelmarin.
“Api yang merebak cepat dan didorong angin mencetuskan ia sebagai bencana kebakaran hutan paling mahal dalam sejarah moden AS,” kata Ketua Meteorologi AccuWeather, Jonathan Porter.
Pihak berkuasa mengumumkan lebih 5,300 struktur musnah akibat kebakaran di Palisades, manakala 4,000 hingga 5,000 struktur berkemungkinan rosak atau musnah akibat kebakaran Eaton.
INSURAN RUMAH MENINGKAT

Industri insurans juga bersiap sedia menghadapi kesan besar, dengan penganalisis dari firma Morningstar dan JP Morgan meramalkan kerugian yang diinsuranskan melebihi AS$8 bilion (RM35.9 bilion).
Ketegangan yang semakin meningkat dalam pasaran insurans dan hartanah California akibat peningkatan risiko dan perubahan peraturan pemilikan.
Banyak syarikat insurans menarik balik atau mengehadkan polisi baharu di California kerana ketidakpadanan antara risiko bencana di kawasan itu dan kadar premium yang dibenarkan.
Tujuh daripada 12 penaja jamin teratas telah menjeda atau menyekat dasar baharu sejak 2022.
Penanggung insurans pilihan terakhir yang disokong kerajaan menyaksikan peningkatan sebanyak 61 peratus dalam jumlah pendedahan dalam satu tahun.
Peraturan baharu memerlukan penanggung insurans untuk menaja jamin peratusan minimum polisi di kawasan berisiko tinggi berdasarkan bahagian pasaran mereka.
Penanggung insurans dibenarkan menaikkan premium untuk mengambil kira risiko masa depan dan peningkatan kos insurans semula.
Namun, premium insurans yang lebih tinggi secara langsung mempengaruhi nilai hartanah.
Sebagai contoh, menggandakan premium tahunan AS$5,000 (RM22,474) untuk rumah berharga AS$1 juta (RM4.49 juta) boleh mengurangkan nilainya sebanyak tujuh peratus.
Kawasan berisiko menghadapi penurunan yang lebih ketara, kerana pemberi pinjaman sering memerlukan insurans yang mencukupi.
Penarikan diri State Farm daripada Pacific Palisades menyebabkan kejatuhan 16 peratus dalam harga jualan median, mempamerkan kesan ketara ketersediaan insurans ke atas hartanah di kawasan tersebut.
Kos insurans yang meningkat mencerminkan trend yang lebih luas kerana harga rumah median di seluruh AS telah meningkat sebanyak kira-kira 50 peratus.
Premium yang lebih tinggi dan pengurangan akses kepada insurans kepada pemilik rumah mungkin membawa kepada isu keterjangkauan dan pengurangan nilai hartanah, terutamanya di kawasan berisiko tinggi.
POLITIK KOTOR TRUMP
Presiden terpilih, Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menjadikan bencana alam itu sebagai modal politik untuk melancarkan serangan terhadap Presiden, Joe Biden dan Gabenor Demokrat California, Gavin Newsom.
Tindakan Trump umpama menangguk di air keruh ketika anggota bomba masih bermati-matian untuk mengawal kebakaran daripada merebak luas.
“Salah satu bahagian terbaik dan paling indah di AS terbakar habis. Ia adalah abu, dan Gavin Newsom perlu meletakkan jawatan. Ini semua salah dia!
“Ini menjadi lambang ketidakcekapan dan salah urus yang teruk oleh Biden dan Newsom,” kata Trump dalam rangkaian Truth Socialnya.
Tanpa memberikan bukti untuk menyokong dakwaannya, Trump menuduh Newsom tidak cekap menguruskan kebakaran itu, malah membazirkan sumber air di California yang dilanda kemarau.
Bagaimanapun, Gabenor California menolak sekeras-kerasnya dakwaan Trump dalam temu bual dengan CNN.
Khamis lalu, Trump menuduh Biden mengalihkan wang kepada dasar iklim “Green New Scam” dan bukannya Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan (Fema). -AFP/BBC










