Langkawi sentiasa bersedia untuk acara besar

Langkawi sentiasa bersedia untuk acara besar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SESI Pemukiman Menteri Luar ASEAN (AMM) di Langkawi, melabuhkan tirainya kelmarin sekali gus menandakan kesediaan Malaysia meneruskan Kepengerusian ASEAN sepanjang 2025 ini.

Langkawi, sebagai salah satu destinasi pelancongan utama negara pula terus membuktikan keupayaan dalam meng­anjurkan acara berskala besar seperti ASEAN dan Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA).

Pemukiman dua hari itu merupakan satu daripada 32 mesyuarat ASEAN yang dija­dual diadakan di pulau pelancongan ikonik yang terletak di utara Semenanjung. Malah, sebanyak 132 acara lain telah dimasukkan dalam Kalendar Acara Langkawi 2025 yang bertujuan memperkukuh industri pelancongan pulau itu sebagai sebahagian daripada kempen Tahun Melawat Kedah 2025.

Pulau sumpahan Mahsuri itu dilengkapi kemudahan infrastruktur moden yang menyokong penganjuran acara besar antaranya Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL) yang mampu menampung penerbangan antarabangsa dan pesawat bersaiz besar.

LTAL menjadi pintu masuk utama bagi para delegasi dan peserta dari pelbagai negara yang menyertai apa jua seminar atau mesyuarat. Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC) yang terletak di Kuah juga adalah pusat konvensyen berteknologi tinggi yang sering menjadi lokasi mesyuarat rasmi, seminar dan persidangan antarabangsa.

Jadi tidak hairan apabila Langkawi sering menjadi pilihan untuk mesyuarat peringkat tinggi dan pelbagai program kerajaan kerana suasananya yang tenang dan terasing, sesuai untuk perbincangan strategik.

Tambahan pula dengan rekod cemerlangnya menganjurkan LIMA, acara dwi-tahunan terbesar sejak 1991 yang mempamerkan keupayaan Langkawi mengendalikan pameran melibatkan teknologi aeroangkasa dan pertahanan maritim.

Malah, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan turut mengakui bahawa kerajaan sedang mempamerkan Langkawi sebagai destinasi pelancongan dan persidangan bertaraf dunia.

Beliau berterima kasih kepada Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan agensi lain atas kerjasama erat serta penglibatan aktif dalam menyokong usaha Kementerian Luar bagi memastikan kejayaan mesyuarat ASEAN.

Selain itu, sokongan komuniti tempatan di Langkawi terus ditagih kerana mereka adalah ‘penganjur’ sebenar yang akan memberi pengalaman positif kepada pelawat.

Penglibatan mereka secara terus dan aktif dalam persediaan acara membolehkan manfaat ekonomi dan sosial dapat dirasai secara meluas.

Kedudukan Langkawi di utara Malaysia menjadikannya lokasi yang strategik, terutamanya untuk acara yang me­libatkan kerjasama serantau di Asia Tenggara.

Sebagai sebuah pulau bebas cukai, Langkawi turut menawarkan daya tarikan kepada delegasi dan peserta untuk membeli-belah dan bersantai di pelbagai lokasi berlatar belakangkan alam semula jadi.

Walaupun Langkawi mempunyai banyak kelebihan, terdapat beberapa cabaran yang perlu diatasi antaranya kecekapan sistem pengangkutan laut terutama ketika acara besar.

Di samping kebergantungan kepada pekerja sambilan dan luar kawasan untuk acara besar yang menunjukkan perlunya program latihan lebih intensif untuk meningkatkan profesionalisme dalam kalangan penduduk tempatan.

Kesimpulannya, Langkawi mempunyai semua keperluan asas untuk menganjurkan acara besar seperti Mesyuarat ASEAN dan LIMA. Namun, untuk memastikan penganjuran yang lebih lancar dan berjaya, tumpuan perlu diberi kepada penambahbaikan infrastruktur pengangkutan, latihan sumber manusia dan pelaksanaan langkah-langkah mesra alam.

Dengan perancangan strategik dan sokongan berterusan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Kedah, Langkawi berpotensi untuk terus menjadi destinasi utama acara bertaraf antarabangsa di rantau ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN