Ketua Mossad ke Qatar, usaha bebaskan tebusan di Gaza

Ketua Mossad ke Qatar, usaha bebaskan tebusan di Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV : Israel mengarahkan Ketua Agensi Perisikan Mossad, David Barnea untuk mengetuai delegasi ke Doha, Qatar, bagi meneruskan rundingan berhubung perjanjian gencatan senjata yang melibatkan pembebasan tebusan di Gaza.  

Pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, langkah itu bertujuan mempercepatkan usaha pembebasan tebusan yang masih berada di tangan Hamas.  

Delegasi tersebut turut disertai oleh Ketua Unit Tebusan Pasukan Pertahanan Israel (IDF), Nitzan Alon dan Ketua Agensi Keselamatan Israel (Shin Bet), Ronen Bar.  

Seorang pegawai Israel memberitahu CNN keputusan menghantar Barnea mencerminkan kemajuan dalam rundingan selain tekanan daripada kerajaan dan pentadbiran baharu Amerika Syarikat (AS) untuk mencari penyelesaian segera.  

Netanyahu dilaporkan bertemu dengan utusan Asia Barat Presiden AS bakal dilantik, Donald Trump, pada Sabtu. 

Trump sebelum ini memberi amaran ‘kekacauan besar akan berlaku’ jika tebusan tidak dibebaskan menjelang tarikh pelantikannya pada 20 Januari.  

Forum Keluarga Tebusan menyambut baik keputusan itu, sambil menyifatkan ia sebagai peluang bersejarah untuk membawa pulang semua tebusan.  

Bagaimanapun, perang antara Israel dan Hamas terus berlarutan dan IDF mengumumkan empat askarnya terkorban dalam pertempuran di bahagian utara Gaza.   

Israel melancarkan perang terhadap Hamas sejak 7 Oktober 2023, susulan serangan yang meragut lebih 1,200 nyawa dan menyaksikan 250 orang dijadikan tebusan.  

Setakat ini, pihak berkuasa kesihatan Gaza melaporkan 46,537 penduduk Palestin terbunuh dan lebih 109,571 cedera sejak konflik bermula.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN