WASHINGTON: Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) mengundi bagi menyokong rang undang-undang untuk mengenakan sekatan terhadap Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
Langkah itu sebagai tindak balas mengenai waran tangkap yang dikeluarkan terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan, Yoav Gallant.
Anggota dewan rendah Kongres AS meluluskan Akta Tindakan Balas Mahkamah Tidak Sah dengan margin besar, 243 berbanding 140, pada Khamis sebagai isyarat sokongan padu untuk Israel.
45 ahli Demokrat menyertai 198 anggota Republikan dalam menyokong rang undang-undang tersebut. Tiada anggota Republikan yang menentangnya.
“Amerika meluluskan undang-undang ini kerana sebuah mahkamah yang tidak sah berusaha untuk menangkap perdana menteri sekutu besar kami, Israel,” kata Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Dewan, Brian Mast dalam ucapan sebelum pengundian, kelmarin.
Rang undang-undang itu kini menuju ke Senat, dengan majoriti Republikan mengangkat sumpah pada awal bulan ini.
Perundangan itu mencadangkan sekatan untuk mana-mana warga asing yang membantu ICC dalam percubaannya untuk menyiasat, menahan atau mendakwa warganegara AS atau sekutu yang tidak mengiktiraf kuasa mahkamah.
AS mahupun Israel tidak menjadi pihak dalam Statut Rom, yang menubuhkan ICC.
Sekatan itu termasuk pembekuan aset hartanah, serta penafian visa kepada mana-mana warga asing yang memberikan sumbangan secara material atau kewangan kepada usaha mahkamah.
Undian itu, antara yang pertama sejak Kongres baharu diadakan minggu lalu, menggariskan sokongan padu dalam kalangan Republikan untuk kerajaan Israel, walaupun perang berterusan di Gaza.
Konflik tersebut menyebabkan lebih 46,000 rakyat Palestin terbunuh sejak konflik bermula Oktober 2023, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.- AL JAZEERA











