DAMSYIK: Perdana Menteri sementara, Mohammad al-Bashir menegaskan akan memulihkan kestabilan dan ketenangan di Syria, sebelum kerajaan baharu mengambil alih kepemimpinan negara.
Kumpulan pejuang melantik Bashir sebagai Ketua Kerajaan peralihan untuk mentadbir negara sehingga 1 Mac, tahun depan.
“Kini tiba masanya untuk rakyat menikmati kestabilan dan ketenangan,” kata Bashir kepada televisyen Al Jazeera Qatar dalam wawancara pertamanya sejak pelantikan itu.
SYRIA ‘LETIH’ BERPERANG
Pemimpin yang mengetuai serangan kumpulan pejuang, Abu Mohammed al-Julani mengadakan perbincangan mengenai peralihan kuasa kelmarin dan berikrar untuk memberkas bekas pegawai kanan yang bertanggungjawab terhadap penyeksaan dan jenayah perang di Syria.
“Kami tidak akan teragak-agak untuk mempertanggungjawabkan penjenayah, pembunuh, pegawai keselamatan dan tentera yang terlibat menyeksa rakyat Syria,” katanya.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, sesiapa yang akhirnya berkuasa di Syria mesti meminta bekas Presiden, Bashar al-Assad serta leftenannya untuk bertanggungjawab terhadap perkara itu.
Julani yang berusaha untuk meredakan kebimbangan tentang bagaimana Syria akan diperintah, memberitahu penyiar Britain, Sky News masyarakat di Syria sudah cukup ‘letih’, justeru, beliau akan berusaha memastikan negara itu tidak kembali lagi ke medan perang.
“Syria akan dibina semula. Negara sedang menuju ke arah pembangunan dan pembinaan semula. Ia menuju ke arah kestabilan.
“Orang ramai keletihan kerana perang, jadi negara tidak bersedia untuk berperang lagi atau berhadapan musuh baharu yang lain,” katanya.
Perang saudara Syria hampir 14 tahun mengorbankan 500,000 orang dan memaksa lebih separuh penduduknya meninggalkan kediaman mereka dengan berjuta-juta orang terpaksa mencari perlindungan di luar negara.
Serangan kilat selama 11 hari oleh Hayat Tahrir Al-Sham (HTS) dan sekutunya minggu lalu, menamatkan lebih setengah abad pemerintahan kuku besi yang tidak dikawal oleh dinasti Assad.
RAKYAT KEMBALI HIDUP TENANG
Di Damsyik, kehidupan kembali normal apabila penduduk dilihat melangkah keluar dari rumah mereka walaupun dalam keadaan berjaga-jaga selepas perintah berkurung dikenakan di ibu kota, sejak Ahad lalu, dilonggarkan.
Perintah itu kini bermula pada pukul 9.00 malam dan bukan lagi 5 petang, namun masih berkekalan sehingga pagi keesokan harinya.
“Kami agak bimbang, tetapi sejak Ahad, kami tidak lagi takut,” kata penduduk Damsyik, Lina Al-Ostaz.
Lina yang meninggalkan rumahnya buat kali pertama sejak serangan itu, kini sudah ‘berani’ keluar membeli-belah di tengah Damsyik, berjalan-jalan di pasar bersama suaminya sambil tersenyum kepada pengunjung dan orang ramai yang lalu-lalang.
Orang ramai juga mula makan di luar rumah di Damsyik, sehari selepas Assad digulingkan.
“Kami rakyat Syria, suka kehidupan seperti ini diteruskan.
“Saya berharap masa depan akan lebih baik untuk golongan muda,” kata wanita berusia 57 tahun yang mengakui pernah ditangkap oleh tentera kerajaan pada 2015.
Di Qassaa, kawasan kejiranan yang majoritinya beragama Kristian, kafe-kafe sibuk dengan pengunjung yang menghisap shisha dan bermain kad.
“Kami sebenarnya masih sangat takut tetapi kami menggalakkan satu sama lain untuk keluar dan meneruskan kehidupan normal.
“Namun, kami tetap berhati-hati dan pulang awal kerana keadaan belum jelas,” kata Rania Diab, seorang doktor berusia 64 tahun yang meninggalkan rumah buat kali pertama untuk bertemu dengan rakan-rakan di sebuah kafe.
Rania menaruh harapan agar seluruh rakyat Syria boleh hidup secara normal, kebebasan dipelihara, mampu hidup dengan selamat selain diberi kebebasan menyuarakan pendapat.
Di jalanan, potret Bashar telah dirobohkan, sementara bendera hijau, putih dan hitam kumpulan revolusi kini berkibar, menggantikan bendera yang diterima pakai semasa pemerintahan bapa Bashar, Hafez.
Lelaki bersenjata dari pelbagai kumpulan pejuang meronda di sekitar jalan di ibu kota, selepas tentera kerajaan dan pegawai polis meninggalkan jawatan mereka beramai-ramai, Ahad lalu.
Di ibu pejabat polis di Damsyik, terdapat pegawai dari kumpulan pejuang Idlib yang memperkenalkan diri sebagai ketua polis baharu dan memberitahu akan menjalankan tugas dalam beberapa hari akan datang.
“Kami akan memastikan keselamatan semua bangunan kerajaan dan menjaga keselamatan di ibu negara,” katanya.
Di kawasan kejiranan Malki yang mewah, orang ramai duduk di kafe, manakala orang muda mengadakan demonstrasi dan menari mengikut alunan lagu-lagu zaman kebangkitan 2011.
Sejak lebih dua dekad lalu, demonstrasi aman disekat dengan kejam oleh tentera Bashar.
Di tengah-tengah kota bersejarah Bab Touma yang majoriti penduduk beragama Kristian, restoran dan kafe dibuka tetapi alkohol tidak dihidangkan kerana pemilik premis masih berhati-hati menunggu perintah baharu di bawah kepemimpinan baharu Damsyik. – AFP










