Guru nampak Muhammad Zaharif digilis Perodua Ativa

Guru nampak Muhammad Zaharif digilis Perodua Ativa

MOHD. Nazri Abdul Razak dibawa ke Mahkamah Tinggi Ipoh semalam untuk perbicaraan kes bunuh pelajar yang dihadapinya. – UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang guru yang sedang menunggu anaknya pulang dari sekolah memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa dia melihat Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie digilis oleh sebuah Perodua Ativa pada 15 Disember lalu.

Saksi pendakwaan ke-16, Azu­ra Yusoff, 50, berkata, mangsa telah digilis antara perut dan dada oleh tayar bahagian hadapan dan belakang sebelah kanan kenderaan tersebut.

Bagaimanapun katanya, pemandu kereta itu tidak turun serta-merta dari kenderaan se­­­lepas kejadian sebaliknya mengambil masa beberapa saat untuk keluar menuju lokasi pe­langgaran.

Jelasnya, kejadian itu berla­ku ketika dia berada di dalam kereta jenis Toyota Wish yang diletakkan di hadapan pintu pagar utama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati di mana sebuah kereta Proton Saga berwarna merah turut diparkir di hadapan kenderaannya.

“Kedudukan kereta saya menghadap simpang tiga jalan. Walaupun terdapat kereta lain di hadapan, pemandangan tidak terhalang.

“Semasa saya berada di da­lam kereta, saya mendengar bunyi dentuman kuat dan melihat sebuah kereta melanggar sebuah motosikal dan penunggang pula telah digilis pada bahagian antara perut dan dada.

“Saya terkejut dan apabila nampak kereta itu berada di hadapan Proton Saga, saya ada membunyikan hon.

“Saya lihat pemandu kereta tidak serta-merta keluar, selang beberapa saat kemudian baru dia keluar menuju ke tempat pelanggaran,” katanya yang me­rupakan guru di SMK Jelapang Jaya itu ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz.

Sementara itu, ketika pe­me­riksaan balas oleh peguam bela, M. Athimulan, Azura memberi­tahu mahkamah bahawa dia mendengar bunyi dentuman kuat sebelum melihat pelajar tingkatan lima itu terhumban ke hadapan dan sebuah kereta dengan lajunya melanggar mangsa.

Bagaimanapun, Azura tidak pasti sama ada terdapat sebarang kesan pada pakaian mang­sa kerana dia tidak turun dari Toyota Wish dan terus beredar sebaik sahaja anaknya keluar dari sekolah.

“Apa yang saya nampak ke­reta itu memang laju. Apabila pelajar itu terjatuh, tayar kende­raan menggilis badan pelajar tersebut,” katanya dalam per­bi­caraan kes Deputi Superin­tenden Mohd. Nazri Abdul Ra­zak, 45, yang sebelum ini bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah yang didakwa telah melakukan bunuh de­ngan menyebabkan kematian Muhammad Zaharif Affendi, 17.

Perbuatan tertuduh itu dila­kukan di persimpangan Jalan Taman Jati 1/Jalan Pekeliling Meru Indah berhampiran SMK Jati di dalam daerah Kinta antara pukul 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari, 15 Disember 2023.

Perbicaraan di hadapan Ha­kim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×