MOSCOW : Bekas Presiden Syria, Bashar al-Assad mengeluarkan kenyataan pertama sejak digulingkan dengan mendedahkan dirinya berpindah ke Russia dari pangkalan Hmeimim, 8 Disember lalu.
Bashar berkata, pangkalan itu diserang dron ketika beliau meninggalkan Damsyik pada pagi yang sama, ketika kumpulan pejuang semakin menghampiri ibu negara itu.
Kenyataan bertulis itu disiarkan dalam saluran Telegram rasmi pejabat Presiden Syria, bertarikh 16 Disember dari Moscow, tempat beliau kini diberikan suaka politik.
Bashar disingkirkan selepas kumpulan pejuang yang diketuai Hayat Tahrir al-Sham melancarkan serangan kilat, sekali gus menamatkan lebih 50 tahun pemerintahan kuku besi keluarganya yang terkenal dengan kekejaman.
“Sepanjang peristiwa ini, saya tidak pernah terlintas untuk meletakkan jawatan atau mencari perlindungan, malah tiada mana-mana pihak yang mencadangkan perkara tersebut,” kata Bashar dalam kenyataannya, sambil menceritakan detik-detik yang membawa kepada pemindahannya keluar dari Syria.
Menurut Bashar, beliau kekal berada di Damsyik dan menjalankan tugas sehingga awal pagi 8 Disember lalu.
“Apabila kumpulan pejuang mula menyusup masuk ke Damsyik, saya bergerak ke Latakia dengan kerjasama sekutu Russia untuk menyelia operasi ketenteraan.
“Namun, ketika tiba di pangkalan udara Rusia di Hmeimim pada pagi itu, pasukan tentera kita telah berundur sepenuhnya dari semua garisan pertempuran dan kedudukan terakhir tentera telah tewas,” ujarnya.
Tambah beliau, pangkalan tentera Russia itu kemudiannya diserang hebat melalui serangan dron dan tanpa pilihan lain untuk meninggalkan pangkalan tersebut, pihak Russia meminta pemindahan segera ke Moscow diatur oleh pihak pangkalan.
Kemudian pada 9 Disember, Kremlin mengesahkan Presiden, Vladimir Putin telah membuat keputusan untuk memberikan suaka kepada Bashar.
Rusia sebelum ini campur tangan dalam perang Syria sejak 2015 melalui serangan udara bagi membantu Bashar menangkis serangan kumpulan pejuang.-AGENSI