NEW YORK CITY: Amerika Syarikat (AS) sekali lagi menggunakan kuasa veto untuk menyekat resolusi menuntut gencatan senjata tanpa syarat dan kekal di Gaza serta pembebasan segera semua tebusan.
Resolusi itu dikemukakan oleh 10 anggota tidak tetap majlis tersebut, dengan AS menjadi satu-satunya daripada 15 anggota yang tidak menyokong.
Teks resolusi itu juga menggesa kemasukan bantuan kemanusiaan berskala besar secara selamat dan tanpa halangan ke Gaza termasuk kawasan utara, serta mengecam sebarang cubaan untuk membiarkan penduduk Palestin mengalami kebuluran.
Isnin lalu, Jawatankuasa Khas PBB untuk Menyiasat Amalan Israel membentangkan laporan kepada Perhimpunan Agung, berhubung kaedah perang yang digunakan rejim di Gaza, termasuk penggunaan kebuluran sebagai senjata untuk mengakibatkan korban besar kepada orang awam.
BAB 7 PIAGAM PBB
Selepas Majlis Keselamatan gagal menerima pakai resolusi itu kelmarin, Timbalan Duta Palestin ke PBB, Majed Bamya berkata dunia kini menyaksikan usaha untuk ‘melenyapkan’ sebuah bangsa tanpa sebarang tindakan diambil.
“Mungkin bagi sesetengah pihak, kami mempunyai kewarganegaraan, kepercayaan, warna kulit yang salah, tetapi kami juga manusia dan patut diperlakukan sewajarnya.
“Adakah Piagam PBB khas untuk Israel yang berbeza daripada piagam lain? Adakah terdapat undang-undang antarabangsa untuk mereka dan undang-undang lain bagi kami?
“Adakah mereka berhak membunuh, manakala kami hanya berhak mati,” katanya.
Beliau turut mempertikaikan peranan PBB dalam menangani keganasan Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza, yang sudah berlarutan selama lebih setahun.
“Apa lagi yang perlu dilakukan oleh Israel agar majlis ini bertindak di bawah Bab 7?
“Atau adakah majlis ini akan menjadi tempat terakhir di dunia yang gagal mengenal pasti ancaman kepada keamanan walaupun jelas di depan mata,” katanya.
Bab 7 Piagam PBB merujuk kepada tindakan yang boleh diambil oleh negara anggota terhadap ancaman kepada keamanan atau tindakan pencerobohan.
Sementara itu, Duta Israel ke PBB, Danny Danon berkata, cubaan memalukan menerusi resolusi itu adalah tindakan pengabaian terhadap rakyatnya yang diculik di Gaza.
“Hari percubaan untuk mengabaikan rakyat kami yang diculik berjaya dicegah.
“Terima kasih kepada AS, kami teguh dengan pendirian bahawa tiada gencatan senjata tanpa pembebasa tebusan. Kami akan terus berjuang sehingga semua kembali ke rumah,” katanya.
ALASAN AMERIKA SYARIKAT
Timbalan Duta AS, Robert Wood berkata, gencatan senjata tanpa syarat bermakna Majlis Keselamatan menerima Hamas terus berkuasa di Gaza.
“AS tidak akan sesekali menerima perkara ini. Daripada meluluskan resolusi yang memberi semangat kepada Hamas, lebih baik menuntut Hamas melaksanakan Resolusi 2735 tanpa syarat atau penangguhan lanjut.
“Marilah kita terus memastikan Israel memudahkan bantuan kemanusiaan tambahan ke Gaza dan berusaha untuk menamatkan penderitaan dan kesengsaraan ramai mangsa Hamas,” katanya.
Resolusi Majlis Keselamatan 2735, yang diterima pakai pada Jun, menyeru Hamas untuk menerima cadangan tebusan dan perjanjian gencatan senjata dengan Israel.
Duta British, Barbara Woodward menyatakan kekesalan terhadap kegagalan Majlis Keselamatan PBB menerima pakai resolusi itu, namun berikrar untuk terus berusaha bersama rakan kongsi bagi menamatkan perang.
“Keadaan kemanusiaan di Gaza semakin merosot dan tidak dapat diterima. Seluruh wilayah berisiko dilanda kebuluran dan di beberapa kawasan keadaan ini dijangka berlaku dalam masa terdekat.
“Kesusahan yang tidak terbayang sedang dihadapi oleh orang awam di Gaza, dijangka menjadi lebih buruk menjelang musim sejuk ini,” katanya.
Susulan itu, Woodward menggesa pihak berkuasa Israel mengambil tindakan segera untuk mengurangkan krisis tersebut dan menghormati undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Duta China ke PBB, Fu Cong pula menyifatkan AS sentiasa menjadi benteng yang mempertahankan Israel walaupun menyedari ancaman kebuluran yang hampir berlaku di Gaza.
“Amerika Syarikat sentiasa berjaya mencari alasan untuk mempertahankan Israel. Pendekatan ini mewakili penyelewengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” katanya.– AGENSI










