Mengait terapi minda doktor gigi

Mengait terapi minda doktor gigi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DI SEBALIK kerjaya sebagai doktor gigi, tersembunyi sentuhan seni unik oleh jari-jemari gadis ini.

Noor Aina Shuhada Mohd. Amin, 25, bukan sekadar mahir merawat gigi pesakit tetapi juga seorang penggiat seni mengait yang gigih berkarya.

Dilahirkan di Perak dan kini menetap di Hulu Selangor, Aina menyuntik elemen ketelitian dan kesabaran bukan sahaja dalam tugas klinikal tetapi juga dalam helaian benang dan jarum mengait bagi mengisi masa lapangnya.

 

DARI SCALER KE JARUM MENGAIT
Minatnya terhadap mengait berkembang sedikit demi sedikit dan berterusan sehingga kini.

Semuanya bermula pada 2017 ketika masih menuntut dalam Asasi Sains di Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Dengkil.

Noor Aina Shuhada teruja melihat hasil karya yang dikongsikan peminat seni itu di media sosial.

“Dengan penuh semangat, saya menyertai kumpulan WhatsApp mengait. Tetapi ketika itu, saya hanya mampu memerhati dan mengagumi hasil kerja orang lain.

“Beberapa kali saya cuba untuk mengait menerusi video tutorial namun hasilnya tetap tidak memuaskan,” katanya.

Bagaimanapun, pandemik Covid19 membawanya kembali dekat dengan hobi itu.

Disebabkan tidak dapat ke klinik kerana kebanyakan kelas dilakukan secara dalam talian, Noor Aina Shuhada dan rakan sebiliknya sepakat untuk belajar mengait bersama-sama.

Tanpa disedari, masanya banyak dihabiskan dengan mengait seolah-olah sudah ‘terikat’ dengan benang dan jarum.

 

RUJUK VIDEO TUTORIAL
Noor Aina Shuhada mendalami seni mengait hanya melalui video tutorial di YouTube.

Namun, ia tidaklah semudah yang disangka.

Katanya, untuk memahami setiap corak dan warna dalam seni mengait ini memerlukan sepenuh tumpuan, kesabaran dan koordinasi yang baik.

Setiap tusukan perlu dibuat dengan teliti untuk memastikan hasil yang kemas dan cantik, apatah lagi jika corak dipilih itu rumit dan memerlukan perubahan warna yang kerap.

“Ada video yang terlalu laju dan sukar difahami. Untuk satu rekaan, saya perlu rujuk beberapa video yang berbeza sebelum benar-benar memahami langkah-langkahnya,” jelasnya.

Baginya, mengait memerlukan lebih daripada sekadar kesabaran, ia adalah seni yang penuh dengan ketelitian dan ketekunan.

Sehingga kini, walaupun belum berkesempatan menghadiri kelas formal, Noor Aina Shuhada terus mendalami ilmu mengait dengan caranya sendiri. Hasilnya? Dia berjaya menghasilkan beberapa helai baju yang lahir daripada bakatnya.

TERAPI MINDA

Sebagai seorang doktor gigi, ketelitian dan fokus yang tinggi amat penting bagi memastikan rawatan yang diberikan bebas daripada sebarang kesilapan.

Setiap batang gigi memerlukan perhatian yang mendalam kerana kesilapan kecil boleh memberi impak besar kepada pesakit sama ada dari segi kesakitan atau kecantikaNamun, bagi Noor Aina

Shuhada, kesibukan bekerja bukan penghalang untuk terus melibatkan diri dalam hobi mengait.

Malah, mengait menjadi terapi setelah letih bekerja dari pukul 8 pagi hingga 5 petang.

“Mengait bukan sekadar hobi tetapi menjadi terapi minda. Ketika jari-jemari bergerak, fikiran saya bebas melayang daripada hal kerja seolah-olah berada dalam ruang yang lebih damai.

“Saya hanya fokus pada bilangan tusukan benang, pusingan ke berapa dan langkah seterusnya,” katanya sambil tersenyum.

Menariknya, hobi yang pada awalnya hanya untuk bersantai kini menjadi bahagian penting dalam hidupnya.

Rutin Noor Aina Shuhada tidak banyak berubah walaupun kini sudah bekerja.

Pada waktu malam atau hujung minggu, dia lazimnya menghabiskan masa bersama jarum mengait di tangan untuk berkarya sambil menghilangkan stres.

KARYA TERBAIK
Hasil sentuhannya bukan sahaja cantik dipandang tetapi juga membawa kepuasan tersendiri.

Antara yang boleh dibanggakan ialah penghasilan baju-baju seperti sweater, kardigan dan topi.

Selain itu, gadis ini turut bertungkus-lumus menghasilkan sehelai vest buat rakannya yang ingin menghadiri konsert penyanyi, Olivia Rodrigo.

Vest gabungan rona ungu dan hitam itu disiapkan dalam tempoh yang agak lama bagi menjamin kesempurnaan.

Hatinya puas ketika melihat senyuman gembira yang terukir di wajah rakannya.

“Saya nak pastikan yang vest itu bukan sahaja cantik tetapi juga sesuai dengan personaliti kawan saya.

“Saya masih ingat muka terujanya apabila tengok vest itu. Hati saya pun jadi berbunga-bunga kerana hasil kerja dihargai.

“Kebanyakan hasil mengait saya hadiahkan sahaja kepada rakan-rakan” ujarnya.

Kata Noor Aina Shuhada, mengait bukan hanya tentang menghasilkan sesuatu yang cantik tetapi memberi sesuatu yang bermakna kepada orang lain.

Ujarnya, setiap hadiah yang diberikan itu adalah caranya menzahirkan kasih sayang dan penghargaan kepada orang-orang penting dalam hidup.

Hal itu kerana, dalam setiap lembar benang yang dikait melambangkan rasa sayang dan ikatan persahabatan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN