Malbatt tidak akan berundur

MALBATT tidak akan berundur

SEORANG anggota Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) diberi rawatan selepas cedera dalam serangan berhampiran Stadium Saida, Lubnan, ketika tentera pengaman itu sedang dalam perjalanan dari Beirut ke Kem Marakah, kelmarin. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Angkatan Ten­­tera Malaysia (ATM) tidak berganjak dengan keputusan meng­hantar tentera pengaman Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) susulan insiden serangan berhampiran Stadium Saida, Lubnan, kelmarin yang mengakibatkan enam anggota­nya cedera.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab. Rahman berkata, pasukan tentera itu hanya berundur jika menerima arahan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk berbuat demikian.

Justeru, anggota MALBATT 850 tetap berada di Lubnan se­pertimana arahan sebelum ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pendirian kita tidak ber­ubah. MALBATT 850 tetap berada di Lubnan sebagaimana pengarahan semasa. ATM hanya berundur apabila mendapat pe­ngarahan daripada PBB,” kata­nya kepada Utusan Malaysia.

Terdahulu, ATM dalam satu kenyataan memaklumkan, enam anggota membabitkan lima orang daripada MALBATT 850-12 dan seorang lagi MALBATT 850-11 mengalami kecederaan susulan serangan berhampiran Stadium Saida.

Kejadian itu berlaku ketika konvoi MALBATT 850-12 sedang dalam perjalanan dari Beirut ke Kem Marakah pada pukul 1.54 petang waktu Lubnan atau 7.54 malam waktu Malaysia.

Serangan itu dilapor menyasarkan kenderaan awam lain yang menuju ke Beirut, namun turut menyebabkan kerosakan pada bas yang membawa anggota MALBATT 850-12.

Ekoran kejadian itu, seorang anggota yang cedera di tangan sedang menerima rawatan di Hospital Hamood di Saida, manakala lima lagi anggota yang cedera ringan, selamat sampai ke Kem Marakah.

Pada Rabu lalu, penghantaran pertama pasukan MALBATT 850-12, melibatkan 220 pegawai dan anggota lain-lain pangkat dilakukan bagi meneruskan misi pengaman di bawah PBB.

Penugasan dan penghantaran pasukan MALBATT 850-12 diatur gerak secara berperingkat melibatkan kekuatan 854 pegawai dan anggota termasuk pasukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei serta seorang pegawai awam bermula 6 hingga 18 November ini.

Sementara itu, kerajaan mengecam sekeras-kerasnya tindakan kejam rejim Zionis Israel susulan insiden membabitkan anggota MALBATT tersebut.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dikongsi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mempengerusikan mesyuarat Jemaah Menteri, semalam.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, tindakan berkenaan tidak boleh diterima sama sekali.

“Mesyuarat Jemaah Menteri membincangkan beberapa perkara dan salah satu daripadanya melibatkan tentera MALBATT yang mengalami kecederaan.

“Segala perancangan sekiranya perlu atau apa-apa tindakan, kita rujuk kepada Kementerian Pertahanan nanti,” katanya dalam sidang akhbar.

Fahmi berkata, Malaysia mengutuk serangan itu termasuk serangan berterusan terhadap Lubnan dan pasukan MATBATT. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini