ALOR SETAR: Kerajaan akhirnya akan mendedahkan kartel padi dan beras yang selama ini mencengkam industri tersebut sehingga mengaut keuntungan ke atas kesengsaraan rakyat serta memonopoli bekalan makanan asas dengan kritikal.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Dr. Fuziah Salleh berkata, pendedahan kartel padi dan beras akan dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kelak.
Beliau berkata, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) telah melengkapkan laporan berhubung perkara itu namun tidak dapat mendedahkannya.
“Saya sudah meneliti laporan tersebut yang disediakan oleh MyCC. Laporan itu sudah siap dan saya sendiri tengok tetapi saya tidak boleh mendedahkan apa intipatinya.
“Saya tidak boleh mendahului Perdana Menteri. Kita tunggu Perdana Menteri dedahkan apa intipati laporan itu,” katanya ketika ditemui selepas turun padang ke program Kita Gempur Zon Utara di Pantai Johor, di sini semalam.
Fuziah berkata, Kerajaan Madani berada di landasan yang tepat dalam usaha membanteras kartel termasuk membabitkan industri pengeluaran ayam negara.
Kata beliau, pada awal 2023 selepas Kerajaan Madani mengambil alih negara, Perdana Menteri mengeluarkan arahan untuk dibuat siasatan ke atas kartel.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, kartel atau ‘mafia’ padi didakwa dimonopoli empat ke lima syarikat besar sejak sekian lama dan mencorak hala tuju industri padi negara sehingga tercetusnya isu benih padi yang berlarutan setiap musim serta masalah bekalan beras.
Perkara itu didedahkan oleh Pengerusi Gabungan Pengilang-Pengilang Beras Malaysia, Marzukhi Othman yang mendakwa syarikat terlibat juga mempunyai kilang-kilang padi di bawah penguasaan mereka termasuk mengeluarkan benih.
Dakwa Marzukhi, kartel-kartel tersebut berperanan cukup besar yang menentukan harga padi, beras dan pembekal benih padi sehingga ada yang mengetepikan arahan kerajaan.
Selain itu, kartel ini juga berterusan menindas pesawah termasuk mengugut untuk tidak membeli semula benih padi jika tidak menggunakan benih padi dikeluarkan mereka.
Keadaan itu menyebabkan pesawah yang mahu meraih pendapatan lebih melalui penjualan benih padi terpaksa berputih mata apabila bekalan itu terbazir begitu sahaja.
Perkara itu mendapat perhatian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dengan memberi jaminan akan melakukan siasatan sekiranya wujud kegiatan kartel industri padi dan beras di negara ini.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali dilaporkan berkata, pihaknya melalui MyCC sentiasa terbuka menerima sebarang maklumat dari semua pihak untuk melakukan penyiasatan berhubung perkara berkenaan.
“Sejak berkuat kuasa Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 bidang kuasa kawal selia berkaitan industri padi negara ini terletak di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM),” katanya.
Bagaimanapun, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu memberi jaminan tidak akan melindungi mana-mana pihak yang didapati terbabit dengan aktiviti kartel padi dan beras di negara ini.
Beliau berkata, MyCC akan menyiasat kewujudan kartel dalam ekonomi negara kita.
“KPKM tiada halangan dan sentiasa bersedia memberikan sebarang maklumat kepada MyCC pada bila-bila masa diperlukan. KPKM juga tidak akan melindungi jika ada mana-mana pihak yang terlibat dengan aktiviti kartel dan tidak akan mencampuri sebarang urusan siasatan oleh pihak MyCC,” katanya. – UTUSAN










