Isu beras, penguasaan lebih 30 tahun kartel dijangka selesai

Isu beras, penguasaan lebih 30 tahun kartel dijangka selesai

KERATAN laporan Utusan Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Isu ketiadaan bekalan beras tempatan di pasaran yang berlarutan hampir dua tahun dijangka selesai selepas kerajaan akhirnya akan mendedahkan kartel padi dan beras yang selama ini menguasai pasaran dan mencorak industri itu.

Justeru, Pengerusi Gabu­ngan Pengilang-Pengilang Beras Malaysia, Marzukhi Othman yang sebelum ini membangkitkan me­ngenai kartel berkenaan menggesa kerajaan segera mendedahkannya sekali gus mengambil tindakan setegas-tegasnya.

Katanya, kartel padi tersebut yang dimonopoli dua ke empat syarikat besar yang juga mempunyai kilang-kilang padi di bawah penguasaan mereka sudah terlalu lama ‘berkuasa’, yang difahamkan sejak lebih 30 tahun lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ujarnya, kartel itu berpe­ranan cukup besar yang menentukan harga padi, beras dan pembekal benih padi sehingga akhirnya menyusahkan para pesawah dan pengguna.

“Kita minta kerajaan segera dedahkan kartel-kartel ini dan insya-Allah, kita percaya isu ketiadaan bekalan beras selama ini mampu diselesaikan kerana kilang-kilang besar ini juga didakwa telah memanipulasi dengan mencampur beras tempatan dan import seterusnya menjual dengan harga beras import.

“Kartel-kartel ini terus me­ngawal pasaran beras negara dengan membeli padi dengan harga mahal daripada pesawah-pesawah ini sehingga turut menyebabkan kilang-kilang kecil ini terpaksa mengikut membeli pada harga tinggi.

“Sudah lama kartel-kartel ini ‘berkuasa’, lebih 30 tahun kawal pasaran beras dan padi yang merosakkan industri ini sehingga menyusahkan pengguna,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini, semalam.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, kerajaan akhirnya akan mendedahkan kartel padi dan beras yang selama ini mencengkam industri tersebut sehingga mengaut keuntungan ke atas kesengsaraan rakyat serta memonopoli bekalan makanan asas dengan kritikal.

Timbalan Menteri Perdaga­ngan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Dr. Fuziah Salleh dilaporkan berkata, pendedahan kartel padi dan beras akan dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kelak.

Fuziah berkata, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) te­lah melengkapkan laporan berhubung perkara itu namun tidak dapat mendedahkannya.

Utusan Malaysia sebelum ini pernah melaporkan, kartel atau ‘mafia’ padi didakwa dimonopoli empat ke lima syarikat besar sejak sekian lama dan mencorak hala tuju industri padi negara sehingga tercetusnya isu benih padi yang berlarutan setiap musim serta masalah bekalan beras.

Sementara itu, Marzukhi berkata, penguasaan kartel juga memberi kesan kepada kilang-kilang beras Melayu ini yang sehingga kini lebih 100 kilang gulung tikar.

“Hanya kira-kira lapan kilang sahaja yang kini mampu bertahan. Kita berharap sangat pendedahan kartel oleh kerajaan ini segera dilakukan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini