BEIRUT: Israel meningkatkan serangan udara di seluruh Lubnan ketika tentera daratnya menggempur negara itu sejak serangan enam minggu lalu.
Sabtu lalu, serangan udara Israel terhadap kampung Khreibeh di daerah Baalbek, timur Lubnan mengorbankan enam orang termasuk tiga kanak-kanak dan 11 yang lain cedera.
Kementerian Kesihatan Lubnan melaporkan serangan turut mengorbankan dua pegawai perubatan di selatan Lubnan, termasuk seorang di Borj Rahal dan seorang lagi di Kfartebnit.
Serangan itu mencederakan empat lagi pekerja penyelamat dan dua yang lain masih hilang.
Serangan udara Israel juga menyasarkan kawasan pinggir selatan Beirut buat hari kelima berturut-turut.
Tentera Israel berkata, serangan itu ditujukan kepada infrastruktur Hezbollah, termasuk kemudahan penyimpanan senjata dan pusat arahan.
Wartawan Al-Jazeera, Charles Stratford yang berada di Beirut melaporkan kebanyakan penduduk di pinggir selatan ibu kota Lubnan itu sudah melarikan diri.
“Hampir tiada sesiapa di sana sekarang. Dulu orang ramai kembali dan memeriksa rumah, barang-barang dan perniagaan mereka pada waktu siang. Namun, keadaan sekarang menjadi semakin sukar.
“Terdapat satu lagi gelombang serangan besar-besaran di bandar selatan Tyre dan di sekitar kampung.
“Tentera Israel mengeluarkan ancaman pemindahan melibatkan 15 kampung di selatan Lubnan,” katanya.
Kumpulan Hezbollah yang disokong Iran turut melancarkan 65 peluru berpandu ke arah Israel, petang Sabtu lalu.
Hezbollah turut melancarkan satu siri serangan dron terhadap pangkalan tentera laut Israel berhampiran bandar pantai Atlit di selatan Haifa. -AL JAZEERA










