Daim abdikan hidup demi agama, bangsa dan negara – Ahli keluarga

Daim abdikan hidup demi agama, bangsa dan negara – Ahli keluarga

DR. Mahathir Mohamad (tengah) menjawab soalan pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang turut dihadiri Datuk Seri Anwar Ibrahim (Timbalan Perdana Menteri ketika itu) dan Daim Zainuddin (Pengarah Eksekutif MTEN ketika itu) di Kuala Lumpur pada 1998.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Allahyarham Tun Daim Zainuddin mengab­dikan hidup ke arah matlamat memaju, membangun dan mem­perkasakan ekonomi negara.

Bagi Allahyarham, kehebatan yang hakiki bukan terletak pada kuasa tetapi usaha gigih tanpa mengharapkan balasan.

Ahli keluarganya dalam satu kenyataan berkata, Allahyarham juga menyerahkan segala-galanya kepada sejarah untuk menghakimi dan sentiasa bertawakal kepada Allah SWT ketika berdepan situasi sukar.

“Allahyarham pulang ke pangkuan pencipta-Nya dengan penuh ketenangan dan kesyu­kuran. Sesungguhnya, perjalanan hidup anak watan Kedah sehinggalah ke persada dunia diwarnai dengan jasa yang dicurahkan serta semangat untuk berbakti kepada agama, bangsa serta negara tercinta.

“Apa yang paling utama, prinsip arwah dalam hidup iaitu iman mendalam kepada Allah SWT. Sebutan yang tidak pernah tinggal adalah syukur dan di sebalik kejayaan di du­nia, beliau yakin ganjaran diterimanya disebabkan keimanan kepada Maha Esa,” jelas kenya­taan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, Allahyarham yang merupakan bekas Menteri Kewangan bukan seorang yang suka menyimpan dendam terhadap mana-mana pihak, sebaliknya mempunyai sikap pemaaf dan sanggup memikul beban serta berdepan konflik dengan tenang.

Daim, 86, menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 8.30 pagi, 13 November lalu di Hospital Assunta di sini.

Allahyarham pernah berkhidmat sebagai Menteri Kewangan sebanyak dua kali iaitu dari 1984 hingga 1991 (kali pertama) di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau memainkan pera­nan penting dalam mengurus ekonomi negara dan melaksana­kan pelarasan struktur.

Daim kemudian kembali untuk penggal kedua dari 1999 hingga 2001, sekali lagi di bawah Dr. Mahathir untuk menangani isu ekonomi berikutan krisis kewangan Asia ketika itu.

Dilahirkan pada 29 April 1938 di Kedah, Allahyarham pernah berkhidmat sebagai ahli Parlimen selama lima penggal antara 1982 dan 2004. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN