PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengenal pasti pemilikan aset-aset luar biasa membabitkan bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin bernilai tinggi di 11 negara dengan anggaran nilai melebihi RM3 bilion.
SPRM menerusi Bahagian Operasi Khas (BOK) sedang giat melaksanakan tindakan siasatan dan penguatkuasaan dalam kes berprofil tinggi memfokuskan kepada penyitaan dan pelucuthakan aset-aset luar biasa yang berkaitan dengan Daim, isterinya, Toh Puan Na’imah Khalid, ahli keluarga dan rangkaian sekutunya.
SPRM dalam kenyataan memaklumkan, kesemua harta berkenaan dikenal pasti di United Kingdom, Amerika Syarikat, Switzerland, Singapura, British Virgin Islands, Kepulauan Cayman, Jersey, Itali, Jepun, Indonesia dan beberapa negara di benua Afrika.
Katanya, kesemuanya dikenal pasti berdasarkan maklumat siasatan terkini hasil daripada kerjasama strategik dengan agensi penguatkuasa di United Kingdom iaitu National Crime Agency (NCA) dan International Anti-Corruption Coordination Centre (IACCC).
Dalam pada itu, SPRM telah memperoleh Perintah Halangan (Restraining Order) di bawah Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Jun lalu terhadap tujuh aset tak alih dan alih terletak di United Kingdom, yang dianggarkan bernilai RM758 juta.
“Permohonan Bantuan Perundangan Bersama (MLA) kepada pihak berkuasa United Kingdom sedang diproses menerusi Pejabat Peguam Negara, manakala perbincangan lanjut bersama IACCC sedang diselaraskan bagi memastikan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara teratur dan berkesan,” katanya di sini
SPRM memaklumkan, permohonan perintah halangan terhadap aset di Singapura dan Jersey juga telah difailkan melalui Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 19 Jun lalu dengan pendengaran permohonan berlangsung pada 23 dan 25 Jun.
Antara aset yang terlibat iaitu empat akaun bank dan pelaburan bernilai RM1.15 bilion di Jersey dan dua belas akaun bank dan pelaburan bernilai RM540 juta (Singapura).
“Selain itu, permohonan maklumat lanjut berkaitan aset di negara-negara seperti Amerika Syarikat, Switzerland, British Virgin Islands, Kepulauan Cayman, Itali dan Jepun sedang dikemukakan menerusi kerjasama dengan Bank Negara Malaysia, IACCC.
“Permohonanan MLA melalui Pejabat Peguam Negara, bagi membolehkan tindakan lanjut penyitaan dan pelucuthakan aset dilaksanakan secara sah dan menyeluruh,” jelasnya.
Dalam pada itu, di peringkat domestik, SPRM telah memperoleh perintah penyitaan terhadap Menara Ilham pada 4 Jun lalu dan tindakan sitaan dilaksanakan pada keesokannya.
Permohonan pelucuthakan tanpa pendakwaan di bawah Seksyen 56, AMLATFPUAA 2001 telah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 25 Jun lalu.
“SPRM juga telah merakamkan keterangan Toh Puan Na’imah dan anak beliau, Muhammed Amir Zainuddin Daim, pada 14 Jun lalu berkaitan pemilikan aset-aset luar biasa yang tidak diisytiharkan.
“Seterusnya, keterangan akan dirakam daripada anak kedua mereka, Muhammed Amin Zainuddin Daim, yang kini berada di United Kingdom,” ujarnya.
SPRM menambah, ketiga-tiga individu ini merupakan pemegang saham utama Ilham Baru Sdn Bhd, syarikat yang memiliki majoriti saham dalam Ilham Tower Sdn Bhd dan dikenalpasti sebagai pemilik manfaat (beneficial owner) kepada Menara Ilham.
“Selaras dengan Seksyen 36(1) Akta SPRM 2009, notis pengisytiharan harta diserahkan bermula 10 Julai lalu kepada seramai 22 individu yang dikenal pasti sebagai saudara dan sekutu rapat kepada Daim dan isterinya bagi tujuan pengesanan dan pengesahan pemilikan aset.
“SPRM menegaskan bahawa tindakan-tindakan ini merupakan sebahagian daripada fungsi dan peranan Suruhanjaya untuk memastikan tiada unsur amalan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa dalam pengurusan kekayaan negara.
“SPRM komited untuk menjalankan siasatan secara bebas, telus dan berlandaskan undang-undang, tanpa sebarang campur tangan atau kepentingan politik,” katanya. – UTUSAN










