BEIJING : Tindakan Kerajaan China membina penempatan di kawasan hujung Himalaya yang bersempadan dengan Bhutan, dikhuatiri bakal mencetuskan polemik dalam hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.
Penempatan Demalong yang diasaskan secara rasmi pada Mac, tahun lalu, dengan 70 keluarga, terletak di kawasan yang turut dituntut oleh Bhutan, sebuah negara Buddha yang mempunyai kurang sejuta penduduk dan belum memeterai persempadanan rasmi dengan China.
Kawasan yang dianggap keras dan sukar didiami ini, terletak pada ketinggian lebih 4,200 meter di Himalaya Timur, pada mulanya hanya menjadi tempat persinggahan penternak pada musim panas.
Usaha ini adalah sebahagian daripada strategi China di bawah Presiden Xi Jinping yang mengutamakan keselamatan nasional dan pengukuhan kawalan sempadan.
Walaupun Bhutan dan China telah mengadakan perbincangan persempadanan sejak beberapa dekad, rundingan itu belum mencapai kesepakatan.
Bagaimanapun, pihak berkuasa Bhutan terus menolak laporan China sedang membina penempatan di wilayah mereka.
Dalam satu kenyataan kepada CNN, Kementerian Luar Bhutan menyatakan tiada penempatan China di daerah utara Lhuntse.
“Sebarang peta Bhutan di sempadan utara akan dimuktamadkan berdasarkan persempadanan Bhutan-China,” kata kenyataan itu.
Kementerian Luar China pula menyatakan aktiviti pembinaan mereka di sempadan adalah untuk meningkatkan kesejahteraan penduduk setempat, sambil menegaskan kedua-dua negara bersetuju untuk menyelesaikan perselisihan melalui perundingan yang mesra.
Sebagai sebahagian daripada usaha menambah jumlah penduduk di kawasan sempadan, China menawarkan rumah yang lebih luas dan subsidi tahunan kepada penduduk baharu yang berpindah ke kawasan itu.
Kementerian Luar Bhutan sekali lagi menolak dakwaan kawasan seperti Lembah Menchuma adalah dalam sempadan negara mereka. -CNN










