PENGUNJUNG di titik tinjau Masjid Jamek pasti tertarik dengan dua seni instalasi awam yang ditempatkan di destinasi ikonik itu sejak bulan lalu.
Individu di sebalik karya bertajuk Dreamweaver dan Oculus itu ialah Nawwar Shukriah Ali, 39, atau lebih dikenali sebagai Bono Stellar.
Sebelum ini, karya sentuhannya pernah menghiasi gerabak aliran transit ringan (LRT) dan stesen Masjid Jamek di samping dipamerkan di Balai Seni Negara.
Setiap karyanya mengajak kita melangkah ke alam separa sedar atau mimpi.
Di alam itu, seseorang dapat melakukan refleksi atau muhasabah diri dan menggodam minda untuk merintis perubahan-perubahan kecil hinggalah yang terbesar dalam hidup.
Penggunaan warna-warna neon di samping garis-garis dan motif kaleidoskop pula menyuntik elemen keceriaan serta hipnosis.

Mesej utama Nawwar Shukriah adalah untuk membantu individu bangkit menyembuhkan diri.
Dalam masa sama, beliau meniup semangat dan harapan agar seseorang sentiasa positif, berkeyakinan serta lebih tenang menempuhi liku-liku kehidupan.
Bakat besar dimiliki si kecil molek ini turut membolehkannya tergolong antara 10 artis instalasi di Malaysia.
Di sebalik pencapaiannya itu, Nawwar Shukriah sebenarnya bergelut dengan isu kesihatan mental akibat trauma penderaan di zaman cilik dan kecelaruan personaliti pinggiran (BPD).
Namun, ia bukan penghalang untuk menyerlahkan potensinya, walaupun pernah dihantui bisikan bunuh diri.
“Sejak tiga tahun lalu, kebanyakan seni instalasi saya bertemakan penyembuhan jiwa rentetan siri terapi yang dijalani tetapi orang mungkin tidak nampak kerana ia berwarna-warni.
“Segelintir artis atau pelukis mungkin cenderung memilih rona-rona gelap bagi meluahkan rasa dan depresi mereka tetapi tidak bagi saya.
“Saya impikan kehidupan bercahaya dan tiada had, sebab itulah setiap karya dilontarkan dengan penuh warna-warni bak pelangi di samping bermain dengan motif kaleidoskop sebagai cerminan diri,” katanya kepada Seri baru-baru ini.
Menerusi karya seni itu, Nawwar Shukriah bebas menitipkan harapannya untuk sembuh dan sasaran masa depan yang lebih baik.

MELUKIS SEJAK KECIL
Bakat artistik anak kedua daripada empat beradik ini diwarisi daripada arwah ibu bapa yang merupakan guru seni dan arkitek.
Seawal usia tiga tahun, jemarinya sudah menari di atas kertas hingga berjaya mengungguli pelbagai pertandingan sejak di tadika.
Bertitik-tolak daripada situ, Nawwar Shukriah mula mengumpul wang-wang kemenangan untuk menampung perbelanjaan persekolahan, bagi meringankan bebanan keluarga.
“Emak merupakan tulang belakang yang menyokong saya aktif melukis dan menguasai bidang-bidang seni lain termasuk nyanyian serta lakonan.
“Arwah juga mengajar saya berdikari dan berusaha untuk mendapatkan sesuatu yang diingini,” kata anak yatim piatu yang kehilangan bapanya sebulan sebelum dilahirkan disusuli ibunya, 17 tahun kemudian.
Penglibatannya dalam seni instalasi bermula pada 2013, setelah terpilih untuk mempamerkan karya di Festival Georgetown.
Sebelum itu, beliau pernah bergelar pereka grafik dan hiasan dalaman, pensyarah seni bina di sebuah universiti swasta dan usahawan butik pakaian.
Walaupun tiada ‘kepakaran’ di peringkat awal, tetapi Nawwar Shukriah memberanikan diri menyahut cabaran itu sambil memanfaatkan ilmu seni bina yang dipelajari di universiti.
Seni instalasi itu menjadi bertambah istimewa terutama setelah beliau menemui gaya dan identiti tersendiri.
“Sedekad lalu, seni ini masih kurang dikenali tetapi sekarang ia semakin naik cuma masyarakat masih tidak tahu untuk berinteraksi dengannya dan menghormati karya tersebut.
“Malah, ada yang menganggapnya sebagai backdrop untuk mengindahkan kandungan di media sosial masing-masing,” katanya.
Tegasnya, menjadi tanggungjawab para artis untuk mendidik masyarakat menyerap mesej di sebalik karya itu dan mengajak mereka masuk ke dalam penceritaan sebenar.

SEDIA KONGSI ILMU
Sehingga kini, tiada mana-mana kursus atau program pengajian berkaitan seni instalasi ditawarkan di mana-mana institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta di Malaysia.
Kebanyakan 10 artis sedia ada itu mendapat didikan berdasarkan latar belakang seni bina masing-masing.
Nawwar Shukriah terpanggil untuk berkongsi ilmu dan kepakarannya menerusi penganjuran kursus khas.
Baginya, dimensi seni amat luas dan menjadi satu kerugian jika keupayaan seseorang terhad kepada satu-satu cabang tanpa meneroka ilmu baharu lain.
“Kita ada ramai bakat dalam bidang seni tetapi sayang sekali mereka tidak tahu menterjemahkan rekaan kepada bentuk 3D dan membina struktur.
“Tahun depan, saya rancang untuk buka kelas dan mengajar tentang ilmu ini supaya seni instalasi lebih dihargai ramai seperti situasi di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah,” katanya.
Kongsinya lagi, mana-mana individu atau wanita yang mahu menceburi bidang seni perlu berilmu, berani meneroka dan usah gentar untuk membuat salah.
Ujarnya, kesilapan merupakan sebahagian daripada proses pembelajaran dan membantu seseorang memperbaiki diri kepada versi yang lebih baik.
“Kalau terlalu banyak berfikir dan memberi alasan sampai bila-bila pun kerja tidak jalan, paling penting kena sabar serta jangan lekas mengalah.
“Seni ini bergantung kepada individu, ada yang membuatnya secara suka-suka untuk meluahkan rasa hati atau sebagai hobi, manakala ada juga mencari makan melaluinya.
“Bagi saya, ia adalah rahmat jika dapat memiliki hobi yang boleh dijadikan sebagai kerjaya dalam masa sama,” katanya.

PENGARUH MUZIK
Alunan muzik bukan sekadar menjadi santapan halwa telinga, sebaliknya medan untuk Nawwar Shukriah mendapatkan inspirasi.
Justeru, tidak hairanlah beliau sanggup mengembara ke pelosok dunia bagi mengikuti lebih 50 konsert dan festival kegemarannya.
“Orang mungkin tidak faham dan ingat saya suka-suka pergi ke merata konsert, tetapi sebenarnya ia membantu dalam kerjaya.
“Setiap orang mempunyai cara berbeza untuk mendapatkan inspirasi dan apabila mendengar muzik saya nampak bayangan bentuk-bentuk,” katanya yang turut berbakat menyanyi.
Dalam masa sama, peluang menghadiri konsert dapat membantu menambah ilmu dan pengalamannya bagi rekaan pentas serta pencahayaan.
Ujarnya, obsesi pada muzik itu lahir secara semula jadi kerana minat keluarga di samping, gemar merekod lagu di radio dan mengumpul lirik-lirik lagu di majalah.

SAYANGI DIRI
Sepanjang sesi temu bual kami di titik tinjau Masjid Jamek itu, ucapan sayangi diri sentiasa membasahi bibirnya.
Nawwar Shukriah mahu kaum hawa belajar menyayangi diri sekali gus mencipta dan menikmati bahagia dengan cara masing-masing.
“Kadang kala individu di sekeliling mungkin tidak faham apa yang kita lakukan kerana setiap orang ada pandangan serta masalah berbeza-beza.
“Oleh itu, penting untuk kita memastikan setiap perkara itu dibuat untuk diri sendiri dan bukan bagi validasi pihak lain,” katanya.
Beliau turut menggajak remaja dan wanita untuk mencari jalan keluar jika dibelenggu kekusutan.
Selain berkongsi masalah dengan individu akrab, boleh juga ikuti terapi-terapi yang disediakan di hospital.










