WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Joe Biden memberikan kata dua kepada Israel supaya meningkatkan jumlah bantuan kemanusiaan masuk ke Gaza dalam tempoh 30 hari, jika tidak mahu kehilangan akses kepada dana senjata dari Amerika Syarikat (AS).
Setiausaha Negara, Anthony Blinken dan Setiausaha Pertahanan, Lloyd Austin memberi amaran itu kepada rakan sejawat mereka dari Israel menerusi surat bertarikh Ahad lepas.
Surat yang mengulangi dasar AS terhadap bantuan kemanusiaan dan pemindahan senjata itu dihantar ketika keadaan di utara Gaza semakin teruk serta serangan udara Israel terhadap tapak hospital sementara di tengah wilayah berkenaan.
Dalam surat itu, Austin dan Blinken meminta Israel meningkatkan sekurang-kurangnya 350 trak sehari untuk rejim terus layak menerima pembiayaan ketenteraan asing.
Pemimpin kanan AS itu juga menggesa Israel melaksanakan jeda kemanusiaan tambahan dan mempertingkatkan keselamatan di lokasi bantuan kemanusiaan.
Menurut surat itu, Israel mempunyai tempoh sehingga 30 hari untuk memenuhi semua syarat berkenaan.
Surat sama pernah dihantar Blinken kepada pegawai Israel pada April membawa kepada peningkatan bantuan kemanusiaan ke wilayah Palestin, namun keadaan itu tidak berlanjutan, kata jurucakap Jabatan Negara, Matthew Miller kelmarin.
“Sebenarnya ia menurun lebih 50 peratus daripada sebelum ini,” kata Miller.
Sementara itu, jurucakap keselamatan negara White House, John Kirby menjelaskan surat tersebut bukan bertujuan sebagai ancaman kepada Israel.
“Surat itu hanya bertujuan untuk menekankan situasi mendesak yang kami rasa dan betapa seriusnya keperluan untuk meningkatkan bantuan kemanusiaan,” katanya.
Sebelum ini, kumpulan bantuan kemanusiaan bimbang Israel mungkin meluluskan rancangan untuk menyekat bantuan ke utara Gaza dalam usaha melemahkan pejuang Hamas.
Situasi itu berisiko mengakibatkan ratusan ribu rakyat Palestin yang terperangkap mengalami kebuluran akibat tiada makanan, air dan bahan bakar.- AP










