BUSAN: Pakar hubungan antarabangsa kini bimbang dengan taktik baharu Korea Utara untuk meningkatkan ketegangan dan mencetus konflik rentas sempadan berikutan tindakannya memusnahkan jalan raya dan landasan kereta api di sepanjang zon demilitarisasi minggu lalu.
Jalan raya dan landasan kereta api yang pernah dilihat sebagai simbol kerjasama antara Korea itu dibina semasa tempoh ketegangan dengan perbelanjaan Korea Selatan.
PROVOKASI BAHARU
Menurut Pakar Sains Politik Universiti Nasional Pusan, Prof. Robert Kelly, kemudahan itu adalah simbol penyatuan dan usaha oleh pelbagai pentadbiran Korea Selatan yang mementingkan perdamaian untuk mendekati Pyongyang selain menjadi penanda keadaan normal yang sukar difahami antara kedua-dua negara itu.
Tetapi katanya, tindakan Korea Utara memusnahkannya membuktikan azam rejim Pyongyang untuk menolak kebiasaan dengan jirannya dan seakan cuba melakukan provokasi baharu terhadap hubungan yang sudah sedia tegang itu.
“Korea Utara miskin. Ini adalah sifat yang menentukan ekonomi politiknya. Infrastrukturnya yang paling moden dibina oleh firma China dan Korea Selatan yang beroperasi di negara itu.
“Korea Utara mempunyai jalan berturap kurang daripada 1,609 kilometer dan di luar ibu negara, jambatan kerap rosak akibat cuaca. Justeru, agak pelik apabila melihat Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un mengarahkan kemusnahan kemudahan jalan yang terhad itu.
“Korea Utara tidak memberitahu apa-apa tentang pilihannya tetapi mungkin ada sebab domestik dan antarabangsa,” katanya kepada CNA.
Minggu lalu, Pyongyang berikrar untuk menutup secara kekal sempadannya dengan Korea Selatan dan secara ringkas mengarahkan tentera bersiap sedia untuk melepaskan tembakan selepas menuduh Seoul menerbangkan dron ke atas ibu negaranya.
Jelas Kelly, hubungan antara dua jiran tu cenderung merosot apabila Korea Selatan ditadbir oleh konservatif.
Katanya, golongan liberal dan progresif Korea Selatan lebih berlembut terhadap Korea Utara berbanding konservatif.
“Tidak mengejutkan, di bawah pentadbiran bekas presiden Korea Selatan, Moon Jae In, terdapat beberapa sidang kemuncak antara Korea. Apabila Jae In berundur pada tahun 2022, Jong Un mengucapkan terima kasih atas usahanya memperbaiki hubungan, satu tanda muhibah yang jarang berlaku.
Pelancaran peluru berpandu adalah gimik biasa tetapi Kelly menegaskan simbolisme memusnahkan jalan raya yang merupakan projek antara Korea itu menampakkan provokasi ketara terhadap kerajaan konservatif Korea Selatan yang lebih tegas dan berpihak kepada AS.
CAMPUR TANGAN CHINA DAN RUSSIA
Jong Un mengumumkan tahun ini beliau akan menghentikan aktiviti penyatuan semula dengan Korea Selatan dan akan terus menganggap Seoul sebagai musuh kuasa asing.
“Korea Utara sebenarnya tidak pernah mahukan penyatuan. Integrasi Semenanjung hampir pasti akan diterajui oleh Seoul, yang mempunyai kelebihan besar dalam sumber dan kemahiran teknikal.
“Mana-mana persekutuan Korea walaupun tanpa penyatuan penuh akhirnya akan dikuasai oleh Korea Selatan. Jika perpaduan Korea pernah berlaku, ia mungkin akan berpunca daripada letupan Korea Utara dan bukannya persetujuan keluarga Jong Un,” kata Kelly.
Persekitaran antarabangsa dan kedudukan yang kini jauh mendahului Korea Selatan dalam pembangunan senjata nuklear memberikan Korea Utara kelebihan besar dalam menghadapi krisis masa depan.
“Kedudukan diplomatik Pyongyang juga baik. AS dan China kini berpisah dan jatuh ke dalam apa yang dipanggil ‘persaingan kuasa besar’.
“Sebelum ini, China sekali-sekala akan bekerjasama dengan AS dalam isu Korea Utara. Sebagai contoh, ia mengundi sembilan pakej sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke atas Pyongyang.
“Tetapi hari-hari itu sudah berakhir. China kini jelas bersaing dengan AS dan akibatnya, Beijing tidak akan melakukan banyak usaha untuk menolak Korea Utara menggunakan senjata pemusnah besar-besarannya,” tambahnya lagi.
Menurut beliau, Russia juga jauh lebih dekat dengan Korea Utara sekarang berbanding dahulu. Malah negara itu yang turut mengundi untuk pakej sekatan PBB seperti China, tidak lagi mahu menguatkuasakannya.
Penganalisis Barat bimbang China, Russia, Korea Utara dan Iran bakal menjadi paksi autoritarianisme.
“Sudah tentu, mereka bekerjasama lebih rapat kerana perang Ukraine. Korea Utara mendapat manfaat yang besar daripadanya. Dengan rakan-rakan seperti itu, Pyongyang mampu membakar jambatannya dengan Seoul,” jelasnya.











