Pemimpin dunia kutuk serangan pengganas di Ankara

Pemimpin dunia kutuk serangan pengganas di Ankara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANKARA: Ahli politik Turkiye dan pemimpin dunia mengutuk serangan terhadap Turkish Aerospace Industries (TUSAS) berhampiran ibu negara Ankara, yang mengorbankan lima nyawa, kelmarin.

Kejadian di ibu pejabat syarikat aeroangkasa dan pertahanan Turkiye dilaporkan berlaku pada 3.30 petang (waktu tempatan) dan turut mengakibatkan 22 yang lain cedera.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri Turkiye, Ali Yerlikaya tidak menolak kemungkinan serangan itu mempunyai kaitan dengan Parti Pekerja Kurdistan (PKK), yang melancarkan pemberontakan selama berdekad terhadap kerajaan.

Insiden tersebut mengundang kecaman pemimpin tempatan dan antarabangsa, termasuk Presiden Russia, Vladimir Putin.

Putin pada permulaan pertemuan dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan di luar sidang kemuncak BRICS di bandar Kazan, Russia, menyampaikan ucapan takziah terhadap serangan keganasan itu.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Mark Rutte dalam kenyataan, turut menyatakan solidariti terhadap sekutunya, Turkiye.

“NATO berdiri bersama sekutu kami Turkiye. Kami mengutuk sekeras-kerasnya keganasan dalam semua bentuk dan memantau perkembangan ini dengan teliti,” katanya dalam hantaran di platform X.

Selain itu, ibu negara Barat termasuk Brussels dan Berlin juga mengutuk serangan tersebut.

Pemimpin pembangkang Turkiye dari Parti Rakyat Republikan (CHP), Ozgur Ozel mengeluarkan kenyataan mengutuk serangan keganasan berkenaan.

Parti utama DEM pro-Kurdish juga mengecam dan menegaskan serangan berlaku ketika masyarakat Turkiye sedang membincangkan penyelesaian dan kemungkinan dialog dengan PKK.

Serangan tersebut berlaku ketika pameran perdagangan besar untuk industri pertahanan dan aeroangkasa sedang berlangsung di Istanbul minggu ini, yang dihadiri diplomat tertinggi Ukraine.

TUSAS merupakan salah satu syarikat pertahanan dan penerbangan terpenting di Turkiye.

Ia menghasilkan pesawat tempur nasional pertama negara, KAAN, termasuk beberapa projek lain.- AL JAZEERA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN