Parlimen Israel lulus dua undang-undang sekat operasi UNRWA

Parlimen Israel lulus dua undang-undang sekat operasi UNRWA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Knesset meluluskan dua undang-undang yang menghalang Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) untuk beroperasi di Israel, memutuskan hubungan dengannya, malah melabelnya sebagai organisasi pengganas.

Tindakan itu jelas mengancam kerja-kerja agensi utama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Palestin untuk menyalurkan bantuan kemanusian kepada penduduk di Gaza yang perlu melalui sempadan Israel.

Di sebalik bantahan daripada Amerika Syarikat (AS) dan amaran daripada Majlis Keselamatan PBB (UNSC), penggubal undang-undang Israel meluluskan rang undang-undang yang melarang UNRWA beroperasi di Israel dan Baitulmuqaddis timur.

Israel mengawal ketat semua penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza, dan Knesset juga melarang pegawai Israel bekerja dengan UNRWA serta sukarelawannya termasuk memutuskan hubungan diplomatik dengan agensi itu.

UNRWA telah menyediakan bantuan penting, persekolahan, penjagaan kesihatan dan bantuan di seluruh wilayah Palestin dan kepada pelariannya di tempat lain selama lebih tujuh dekad.

Undang-undang yang tidak berkuat kuasa serta-merta itu menandakan tahap terburuk hubungan yang sudah lama bermasalah antara Israel dan PBB.

Malah, sekutu antarabangsa turut menyatakan kebimbangan tentang potensi kesannya ke atas rakyat Palestin berikutan jumlah korban kemanusiaan perang yang semakin meningkat.

Perundangan itu berisiko meruntuhkan proses yang sudah rapuh untuk mengagihkan bantuan di Gaza pada saat Israel berada di bawah tekanan Amerika Syarikat (AS) untuk meningkatkan bantuan.

Israel mendakwa sebahagian daripada ribuan kakitangan UNRWA menyertai serangan Hamas tahun lepas yang mencetuskan perang di Gaza.

Selain menuduh beratus-ratus kakitangan UNRWA mempunyai hubungan dengan Hamas, Israel sering mendakwa menemui aset tentera Hamas berhampiran atau di bawah kemudahan agensi itu.

Agensi itu memaklumkan sudah memecat sembilan pekerjanya selepas siasatan dijalankan, tetapi menafikan ia secara sedar membantu kumpulan bersenjata dan menegaskan sudah bertindak pantas untuk memberhentikan mana-mana pejuang yang disyaki daripada barisan sukarelawannya.

Beberapa dakwaan Israel mendorong penderma antarabangsa utama untuk mengurangkan pembiayaan kepada agensi itu, walaupun sebahagian daripadanya telah dipulihkan.

Undian pertama lulus 92-10 walaupun selepas perdebatan sengit antara penyokong undang-undang dan penentangnya yang kebanyakannya adalah ahlii Parlimen parti Arab. 

Undang-undang kedua pula diluluskan berdasarkan 87 undian. -AP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×