SEOUL: Kementerian Pertahanan Korea Utara mengecam tindakan Amerika Syarikat (AS) yang menempatkan aset strategik nuklear di Korea Selatan, lapor media rasmi KCNA, ketika Seoul bersiap sedia mengadakan perarakan tentera sempena Hari Angkatan Tentera.
Timbalan Menteri Pertahanan Korea Utara, Kim Kang Il, menuduh Washington melakukan tindakan ketenteraan yang melulu dan mencetuskan ketegangan dengan menghantar kapal selam bertenaga nuklear baru-baru ini ke Korea Selatan serta sekali lagi menerbangkan pesawat pengebom B-1B untuk perarakan tersebut.
Media Korea Selatan melaporkan pesawat pengebom B-1B akan menyertai perarakan yang berlangsung semalam, terbang di atas Seoul bersama jet pejuang sekutu dan pesawat lain.
Pihak tentera Korea Selatan dan Pasukan AS di Korea bagaimanapun belum mengesahkan penyertaan pesawat pengebom tersebut, namun Kementerian Pertahanan Seoul menyatakan perarakan itu bertujuan untuk mempamerkan kekuatan ketenteraan negara sebagai langkah pencegahan terhadap Korea Utara.
Kim berkata, tindakan mempamerkan kekuatan oleh AS hanya menyerlahkan kelemahan strategiknya di Semenanjung Korea berbanding Korea Utara, serta ketakutan berpanjangan Korea Selatan terhadap nuklear.
Beliau turut menggesa langkah baharu diambil sebagai tindak balas.
“Kami boleh mempertimbangkan rancangan tindakan baharu pada bila-bila masa dan melaksanakannya,” katanya, sambil berjanji untuk terus meningkatkan ‘pencegahan peperangan yang kuat’ di negara itu, menurut KCNA.
Minggu lalu, Kim Yo Jong, adik kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, mengkritik kehadiran kapal selam nuklear AS di Korea Selatan, yang berlabuh di pelabuhan Busan untuk mendapatkan bekalan dan membolehkan anggota kru berehat. – AGENSI









