Korea Utara hantar 10,000 tentera ke Russia - Utusan Malaysia

Korea Utara hantar 10,000 tentera ke Russia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mendakwa Korea Utara sudah menghantar kira-kira 10,000 tentera untuk berlatih di Russia, yang meningkat tiga kali ganda berbanding anggaran sebelum ini.

Peningkatan keupayaan pasukan tentera darat itu mendorong Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan Kesatuan Eropah (EU) memberi amaran tentang perluasan berbahaya perang di Ukraine.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky memberi amaran Korea Utara mungkin tidak lama lagi mempunyai seramai 12,000 askar di Russia, sementara Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menyelar penempatan itu sebagai kerjasama yang sangat berbahaya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami percaya Korea Utara telah menghantar kira-kira 10,000 tentera secara keseluruhan untuk berlatih di timur Russia yang mungkin akan menambah bilangan pasukan Russia berhampiran Ukraine dalam beberapa minggu akan datang,” kata Timbalan Setiausaha Akhbar Pentagon, Sabrina Singh kepada wartawan.

Washington sebelum ini meletakkan jumlah tentera Korea Utara di Russia sekitar 3,000 orang.

Ketua NATO, Mark Rutte turut menggelar penempatan tentera itu sebagai tanda-tanda Presiden Russia, Vladimir Putin semakin terdesak.

Rutte berkata, lebih 600,000 tentera Russia terbunuh atau cedera sejak konflik bermula pada 2022, sambil menambah Kremlin tidak dapat mengekalkan pencerobohan tanpa sokongan asing.

Walaupun berdepan kerugian besar, Russia dilaporkan mencipta keuntungan wilayah yang stabil di Ukraine.

Menurut analisis data AFP dari Institut Kajian Perang, tentera Moscow  semakin mara lebih 478 kilometer persegi ke wilayah Ukraine sejak awal Oktober, rekod terbesar selepas minggu pertama perang.

Peningkatan itu mengikuti kemajuan 477 dan 459 kilometer persegi masing-masing pada bulan Ogos dan September yang berlaku di tengah-tengah perubahan besar di barisan hadapan, khususnya di sekitar Pokrovsk di timur Ukraine.

Bercakap di Brussels selepas taklimat dengan pegawai perisikan Korea Selatan, Rutte berkata, beliau boleh mengesahkan unit tentera Korea Utara ditempatkan di lapangan di wilayah Kursk di barat Russia.

Tentera Ukraine melancarkan serangan darat di Kursk pada Ogos lalu dan mengawal beberapa ratus kilometer persegi wilayah Russia.

“Kerjasama ketenteraan yang semakin mendalam antara Russia dan Korea Utara adalah ancaman kepada keselamatan Indo-Pasifik dan Euro-Atlantik,” kata Rutte kepada pemberita di Brussels.

Pakar berkata, sebagai balasan kepada penghantaran tentera, Korea Utara berkemungkinan menyasarkan untuk memperoleh teknologi ketenteraan, daripada satelit pengawasan hingga kapal selam, serta kemungkinan jaminan keselamatan dari Moscow.

Sementara itu, Ketua EU, Ursula Von Der Leyen juga memberi amaran tindakan Korea Utara itu mengancam keamanan global.

Selepas panggilan telefon dengan Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol, Von Der Leyen memberi jaminan tindak balas EU terhadap perkembangan tersebut akan tertumpu kepada kerjasama dengan Seoul dan rakan kongsi lain yang turut merasakan ancaman serupa.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini