Pencampuran minyak perlu kawalan, dokumentasi ketat demi imej Malaysia - Utusan Malaysia

Pencampuran minyak perlu kawalan, dokumentasi ketat demi imej Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Aktiviti pencampuran (blending) minyak perlu mendapat kelulusan bertulis Ketua Pengarah Kastam apabila diwajibkan di bawah peraturan berkaitan, selain disokong dokumentasi lengkap bagi memastikan pematuhan undang-undang dan ketelusan urus niaga.

Pakar dasar dan undang-undang maritim, Kastam serta perdagangan rentas sempadan, Dr. Madzli Harun berkata, setiap aktiviti melibatkan pengimportan, penyimpanan, pencampuran dan pengeksportan semula minyak perlu dilaksanakan mengikut skop lesen serta syarat yang ditetapkan pihak berkuasa.

Beliau berkata, aktiviti blending boleh mengubah komposisi dan spesifikasi sesuatu produk, justeru rekod yang jelas diperlukan bagi mengesahkan kuantiti, pergerakan kargo serta keadaan produk sebelum dan selepas proses berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, dokumen berkaitan seperti kontrak, bil muatan (Bill of Lading) dan manifes kargo perlu diselaraskan bagi memastikan maklumat yang diisytiharkan sepadan dengan transaksi serta keadaan sebenar barangan.“Sekiranya sesebuah premis hanya diluluskan untuk tujuan penyimpanan, sebarang aktiviti tambahan seperti pencampuran atau perubahan gred produk perlu diteliti berdasarkan skop lesen dan peraturan yang berkuat kuasa.

“Pengendali perlu memastikan kelulusan bertulis diperoleh apabila diwajibkan, selain memastikan semua aktiviti direkodkan dengan tepat,” katanya.

Beliau berkata demikandalam forum bertajuk ‘Strengthening Malaysia’s Downstream Petroleum Value Chain and Identifying Gaps and Enabling Factors Within Malaysia’s Regulatory Landscape’ anjuran Maritime Network Sdn Bhd dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Madzli berkata, dokumentasi yang tidak lengkap atau ketidakselarasan antara rekod dengan keadaan sebenar kargo boleh menimbulkan persoalan berkaitan pengisytiharan barangan, pematuhan peraturan serta layanan cukai.

Beliau berkata, audit menyeluruh juga penting bagi memastikan jumlah minyak yang diterima, disimpan, dicampur dan dieksport dapat dikenal pasti serta dipadankan dengan dokumen berkaitan.

Dalam perdagangan rentas sempadan, katanya, penentuan asal barangan dan kelayakan mendapatkan layanan di bawah perjanjian perdagangan bebas perlu dibuat berdasarkan peraturan asal barangan serta dokumen sokongan yang berkaitan.

Sehubungan itu, beliau berkata, pengendali industri perlu memastikan setiap urus niaga mematuhi syarat yang ditetapkan, manakala pihak berkuasa perlu mempunyai rekod yang mencukupi untuk menilai tahap pematuhan dan implikasi cukai.

Beliau berkata, kawalan yang jelas terhadap aktiviti blending, termasuk keperluan kelulusan dan dokumentasi sewajarnya, penting bagi memelihara integriti sistem Kastam serta mengurangkan risiko pertikaian antara pemain industri dengan pihak berkuasa.

Sementara itu, pakar industri maritim Nazery Khalid berkata, aktiviti pencampuran minyak tanpa kelulusan, pemantauan, pematuhan piawaian dan dokumentasi sewajarnya perlu dipandang serius kerana insiden yang boleh mengancam kesihatan, keselamatan dan menjejaskan integriti pihak berkuasa yang bertanggungjawab memantau aktiviti berkenaan.

Beliau berkata, sekiranya insiden sedemikian berlaku, persoalan ajan timbul mengenai pematuhan prosedur keselamatan, keberkesanan pemantauan serta penguatkuasaan peraturan terhadap aktiviti pencampuran minyak.

Menurutnya, aspek-aspek kelulusan, kawalselia dokumentasi dan pematuhan syarat operasi perlu diberikan perhatian rapi bagi memastikan setiap aktiviti dijalankan secara terkawal dan mengikut peraturan yang ditetapkan serta piawaian dan amalan terbaik antarabangsa.

Beliau berkata, kelemahan dan ketiadaan integriti dalam aspek dokumentasi, pengawasan dan penguatkuasaan bukan sahaja berpotensi menimbulkan risiko kepada orang ramai dan persekitaran malah boleh menjejaskan keyakinan para pemain industri dan rakan dagang serta masyarakat antarabangsa terhadap ketelusan sistem kawal selia pengendalian kargo di Malaysia.

“Ketiadaan konsistensi dan ketepatan dokumen kargo seperti Bill of Lading dan manifest tidak harus diambil ringan, terutamanya kargo bersifat cecair seperti produk petroleum dan minyak kelapa sawit. Ia berpotensi memberi ruang kepada pelbagai bentuk salah laku yang boleh mendatangkan kesan buruk kepada kesihatan dan alam sekitar.

“Sekiranya situasi ini tidak ditangani dengan segera dan menyeluruh, ia boleh menjejaskan keyakinan umum terhadap integriti industri yang terbabit serta merosakkan imej negara di persada antarabangsa,” tegas beliau.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini