WASHINGTON: Calon Demokrat, Kamala Harris mengeluarkan laporan kesihatan dan sejarah perubatan yang mengesahkan dirinya sihat dan mampu untuk menjalankan tugas Presiden jika dipilih pengundi pada November ini.
Menurut surat yang dikeluarkan kelmarin, keadaan kesihatan Harris sangat baik dan beliau mempunyai ketahanan fizikal serta mental yang diperlukan untuk berkhidmat sebagai Presiden.
Doktor kepada Naib Presiden itu, Joshua Simmons berkata, Harris mengekalkan gaya hidup yang sihat dan aktif, malah pemeriksaan terkini pada April lalu, menunjukkan keadaan kesihatannya normal.
“Beliau mempunyai ketahanan fizikal dan mental yang diperlukan untuk melaksanakan tugas Presiden, termasuk sebagai Ketua Eksekutif, Ketua Negara dan Panglima Tertinggi,” tulisnya dalam surat merangkumi sejarah dan status perubatan Harris.
Harris, 59, mengumumkan maklumat perubatannya sebagai usaha untuk menarik perhatian kepada keengganan lawannya, Donald Trump untuk berbuat demikian.
Pasukan kempen Harris berharap penerbitan laporan perubatan itu akan membezakan dirinya dengan calon Republikan berkenaan, yang sekadar berkongsi maklumat terhad mengenai kesihatannya sepanjang tahun.
Harris berkata, keengganan untuk memberikan laporan perubatan terperinci adalah contoh terbaharu sikap kurang ketelusan Trump.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi Kempen Trump, Steven Cheung dalam kenyataan menegaskan, bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) itu secara sukarela mengeluarkan kemas kini daripada doktor peribadinya, serta laporan terperinci daripada Ronny Jackson, yang merawatnya selepas cubaan pembunuhan pertama.
“Semua merumuskan beliau berada dalam keadaan kesihatan yang cemerlang untuk menjadi Panglima Tertinggi,” kata Cheung.
Kempen Harris dilihat memainkan sentimen usia bekas presiden itu kerana Trump menjadi calon tertua dalam perlumbaan kali ini.- AP-REUTERS










