BAITULMUQADDIS: Tentera Israel mendakwa Hezbollah menyimpan ratusan juta dolar dalam bentuk wang tunai dan emas di kawasan kubu yang dibina di bawah sebuah hospital di Beirut.
Namun rejim itu berkata, mereka tidak akan menyerang kemudahan itu ketika meneruskan sasaran terhadap aset kewangan kumpulan tersebut.
Ahli Parlimen Lubnan dari Parti Gerakan Syiah Amal yang juga Pengarah hospital berkenaan, Al-Sahel, Fadi Alameh memberitahu, Israel sengaja membuat dakwaan palsu dan menyebarkan fitnah terhadap Hezbollah.
Tentera Lubnan juga dikerah untuk melawat hospital Al-Sahel yang didakwa menyimpan aset tersebut, namun hanya menemukan bilik bedah, pesakit dan bilik mayat.
Fadi berkata, pesakit hospital Al-Sahel juga kini terpaksa dipindahkan walaupun tentera Israel berkata, pihaknya tidak akan menyerang kemudahan itu.
Ketua Jurucakap Tentera Israel, Daniel Hagari mendakwa, maklumat itu dikumpulkan oleh perisikan Israel selama bertahun-tahun.
Dalam satu kenyataan di televisyen, Hagari berkata, bekas Pemimpin Hezbollah, Sayyed Hassan Nasrallah, yang dibunuh Israel bulan lalu, telah membina kubu yang direka untuk penginapan lama.
“Terdapat ratusan juta dolar dalam bentuk tunai dan emas di dalam kubu itu sekarang.
“Saya menyeru kerajaan Lubnan, pihak berkuasa Lubnan dan organisasi antarabangsa jangan benarkan Hezbollah menggunakan wang itu untuk keganasan dan menyerang Israel.
“Tentera Udara Israel sedang memantau kawasan itu, seperti yang anda lihat. Bagaimanapun, kami tidak akan menyerang hospital itu sendiri,” kata Hagari.
Hagari berkata, rejim itu kini merancang lebih banyak serangan ke atas tapak kewangan Hezbollah.
Ketua Staf Am Israel, Herzi Halevi memberitahu tentera di Lubnan, sejak kelmarin, pesawatnya membedil sekitar 30 tapak milik Al-Qard Al-Hassan yang didakwa sebagai cabang kewangan Hezbollah.-REUTERS











