NEW YORK: Misi Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) di Lubnan merekodkan lebih 30 insiden setakat bulan ini, yang mengakibatkan kerosakan harta benda atau kecederaan kepada anggota pasukan.
Jurucakap UNIFIL, Andrea Tenenti berkata, kira-kira 20 insiden adalah disebabkan oleh tembakan atau tindakan Israel.
“Daripada 30 insiden bulan ini, kira-kira 20 daripadanya dapat kami kaitkan dengan tembakan atau tindakan IDF (Angkatan Pertahanan Israel), dengan tujuh daripadanya jelas bersifat sengaja.
“Apa yang membimbangkan adalah insiden pasukan pengaman melakukan tugas pemantauan dan kamera, lampu serta keseluruhan menara kawalan kami disasarkan dengan sengaja oleh IDF,” katanya dalam sidang akhbar.
Pasukan pengaman PBB dikerahkan di Lubnan sejak pencerobohan Israel pada 1978.
Baru-baru ini, pasukan itu terpaksa berada di barisan hadapan dalam perang baharu antara Israel dan Hezbollah, dengan rejim berulang kali menggesa UNIFIL untuk meninggalkan kedudukan mereka.
Tenenti berkata, sebuah roket mungkin ditembak oleh Hezbollah atau kumpulan sekutunya terkena ibu pejabat misi PBB di bandar Naquora, Lubnan.
“Secara jelasnya, tindakan kedua-dua IDF dan Hezbollah meletakkan anggota pengaman dalam bahaya,” kata jurucakap tersebut.– AFP











