NEW YORK: Lebih satu bilion penduduk dunia kini hidup dalam kemiskinan tegar, dengan lebih separuh daripada jumlah tersebut adalah kanak-kanak.
Angka itu diperoleh hasil laporan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP).
Laporan yang diterbitkan bersama Oxford Poverty and Human Development Initiative (OPHI) itu mendedahkan kadar kemiskinan adalah tiga kali ganda lebih tinggi di negara-negara yang terlibat dalam peperangan, memandangkan tahun 2023 mencatatkan jumlah konflik tertinggi sejak Perang Dunia Kedua.
UNDP dan OPHI menerbitkan Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi (MPI) secara tahunan sejak 2010, menggunakan data daripada 112 buah negara yang mempunyai populasi gabungan seramai 6.3 bilion orang.
Indeks tersebut menilai pelbagai indikator seperti kekurangan tempat tinggal yang memadai, sanitasi, sumber elektrik, bahan bakar memasak, pemakanan, dan kehadiran ke sekolah.
“MPI 2024 memberikan gambaran yang membimbangkan: 1.1 bilion orang mengalami kemiskinan pelbagai dimensi, dengan 455 juta tinggal dalam bayangan konflik,” kata Ketua Statistik UNDP, Yanchun Zhang,
Tambah Zhang, golongan miskin di negara-negara terjejas konflik, lebih bergelut untuk mendapatkan keperluan asas.
Dalam pada itu, laporan turut menunjukkan sebanyak 584 juta kanak-kanak di bawah umur 18 tahun mengalami kemiskinan tegar, yang mewakili 27.9 peratus daripada jumlah kanak-kanak di seluruh dunia, berbanding 13.5 peratus bagi orang dewasa.
Ia juga menunjukkan 83.2 peratus daripada golongan termiskin di dunia tinggal di Sub-Sahara Afrika dan Asia Selatan.
India merupakan negara dengan jumlah terbesar penduduknya yang mengalami kemiskinan tegar, menjejaskan 234 juta daripada 1.4 bilion populasinya.
Diikuti oleh Pakistan, Ethiopia, Nigeria dan Republik Demokratik Congo, lima negara ini menyumbang hampir separuh daripada 1.1 bilion penduduk miskin. -AGENSI










