Tolak MoU peruntukan: Pembangkang bukan `pak turut’ kerajaan Tolak MoU peruntukan: Pembangkang bukan `pak turut’ kerajaan

Tolak MoU peruntukan: Pembangkang bukan `pak turut’ kerajaan

AHMAD FADHLI SHAARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penolakan Memorandum Persefahaman (MoU) peruntukan kepada  ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) langkah  tepat kerana kandungannya seolah-olah menjadikan blok pembangkang hanya sekadar ‘rubber stamp’ atau pak turut kerajaan.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, antara kandungan MoU tersebut adalah pembangkang tidak boleh membuat sebarang bangkangan di Parlimen.

“Belum lagi dinyatakan tentang ‘paksaan’ kepada ahli-ahli parlimen pembangkang untuk tidak membuat ‘bangkangan yang sia-sia’ di dalam Parlimen. Siapakah yang akan membuat definisi sia-sia itu?

“Jika tidak boleh membuat bangkangan, maka apa lagi tugas seorang ahli parlimen? Untuk menjadi ‘rubber stamp’ kepada kerajaan?,” katanya dalam kenyataan.

Beliau merujuk pendirian PN yang sebulat surat menolak MoU peruntukan ahli parlimen kerana melanggar dengan Perlembagaan Persekutuan.

Sebelum ini, PN mendedahkan, menzahirkan sokongan kepada kerajaan dan pengisytiharan harta merupakan antara tujuh syarat MoU peruntukkan untuk ahli parlimen pembangkang.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, antara empat sebab fundamental PN menolak kerana MoU tersebut kerana menyifatkan kandungannya bertentangan dengan nilai budaya, moral dan agama.

Menurut Ahmad Fadhli, MoU berkenaan didakwa mengandungi terma perjanjian yang sangat bahaya kepada kedudukan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kedudukan agama Islam dan hak istimewa bumiputera.

Kata Ahli Parlimen Pasir Mas itu, memorandum tersebut dinyatakan dengan jelas bahawa ahli-ahli parlimen PN hendaklah memperakui hak-hak sama rata semua rakyat tanpa mengira agama dan bangsa.

“Tiada sebarang jaminan dinyatakan terhadap kedudukan agama Islam dan hak-hak bumiputera di dalam memorandum tersebut sekali gus menjadikan ia perkara yang berada dalam kedudukan yang samar dan boleh ditafsirkan dengan pemahaman yang salah.

“Bukankah Perlembagaan meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan mengatasi agama-agama yang lain?

“Bukankah Perlembagaan yang sama juga menjamin hak-hak bumiputera, maka apakah maksud dari terma perjanjian yang memaksa PN memperakui hak-hak sama rata tanpa mengira agama dan bangsa?,” katanya.

Oleh itu, beliau menggesa kerajaan untuk mendedahkan kandungan MoU tersebut jika berani.

“Sekali-kali tidak. Kami tidak akan tunduk dengan kejahatan dan kezaliman ini. Biar mati berkalang tanah, dari hidup bercermin bangkai. Dengan ini, kenyataan Ketua Pembangkang menolak memorandum persefahaman adalah disokong,” katanya.- UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN