JOHOR BAHRU: Orang ramai dinasihatkan agar tidak mendekati mana-mana haiwan liar khususnya harimau untuk mengambil gambar atau video demi keselamatan masing-masing.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar, Ling Tian Soon berkata, penampakan haiwan itu di Kampung Rahmat, Kluang tiga hari lalu merupakan insiden pertama di kawasan berkenaan.
Sehubungan itu katanya, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor telah memasang perangkap kamera bagi memastikan keberadaannya.
“Perhilitan Johor telah turun ke lokasi dan didapati benar ada kesan tapak kaki seekor haiwan dewasa. Bagaimanapun usaha telah dibuat sama ada untuk menghalaunya pulang ke tempat asal atau untuk menangkapnya sebelum dibebaskan ke tempat lebih selamat.
“Ini merupakan penampakan kali pertama harimau di kawasan itu, sebelum ini melibatkan dua ekor gajah, tetapi itu juga jarang-jarang. Apa yang penting masyarakat diingat agar tidak mendekati haiwan tersebut apatah lagi untuk ambil gambar atau video,” katanya kepada pemberita semasa merasmikan program ‘Shaping Johor Ageing Future’ di Hotel DoubleTree by Hilton, di sini hari ini.
Tiga hari lalu, tular di media sosial satu rakaman video berdurasi 36 saat memaparkan seekor harimau belang kelihatan di kawasan semak sekitar Kampung Rahmat sehingga mencetuskan kebimbangan penduduk.
Tambah Tian Soon, selain perangkap kamera, Perhilitan juga akan mengambil inisiatif memasang letupan kecil untuk memastikan haiwan berkenaan tidak terus berkeliaran khususnya di kawasan berpenduduk. – UTUSAN








